Panas! Orang kanan Anwar marah orang usik bossnya

Panas! Orang kanan Anwar marah orang usik bossnya

PENGERUSI Majlis Pimpinan PKR Perak, Farhash Wafa Salvador membidas tindakan segelintir pihak yang berterusan menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menyifatkan tindakan menyerang Presiden parti dengan dakwaan-dakwaan tidak berasas umpama membaling batu sembunyi tangan.

“Berapa kenyataan telah tular sejak kebelakangan ini. Ianya jelas kelihatan wujudnya usaha untuk memecah-belahkan semangat perpaduan dalam kalangan anggota PKR.

“Saya menyeru supaya kepimpinan tertinggi kesemua parti di dalam Pakatan Harapan untuk berdiri teguh di belakang Pengerusi Pakatan Harapan yang juga Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

“Ia agar kita dapat bergerak ke hadapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang, sekali gus kembalikan mandat rakyat yang telah dikhianati pada Februari tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, seperti dilaporkan Malaysiapost.

Farhash menambah, terdapat usaha dilakukan secara berterusan untuk menyerang Anwar menerusi surat-surat layang yang disebarkan.

Menurutnya, tindakan itu hanya untuk menganggu gugat kedudukan Presiden PKR itu sambil mengalih perhatian daripada perbincangan perihal dasar kerajaan yang lebih penting pada ketika ini.

Baru-baru ini, sebuah portal melaporkan, wujud gesaan senyap supaya Anwar yang merupakan Pengerusi PH diganti.

Isu itu timbul kembali susulan kegagalan PKR memenangi kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.