Panas! Pas dakwa rundingan kerusi dengan Umno hanya ‘perbincangan kedai kopi’

Panas! Pas dakwa rundingan kerusi dengan Umno hanya ‘perbincangan kedai kopi’

 

Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek menyifatkan perbincangan parti itu dengan Umno berhubung situasi politik di negeri itu sekadar “perbincangan di kedai kopi”.

Setakat ini, katanya, belum ada perbincangan rasmi antara PAS dengan Umno Melaka berkaitan pembahagian kerusi dalam Muafakat Nasional (MN) bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) itu.

Beliau berkata, PAS masih menunggu jemputan rasmi Umno untuk berbincang dan sedia memberi kerjasama bagi memastikan kesejahteraan politik masyarakat Melayu serta Islam.

“Belum ada lagi (perbincangan rasmi) antara PAS dan Umno berhubung PRN Melaka, yang ada sekarang hanyalah borak dengan rakan Umno di kedai kopi,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Justeru, Kamarudin menolak desas-desus kononnya PAS sudah berbincang secara sulit dengan Umno berhubung kerusi yang akan ditandingi mereka pada 20 Nov ini.

Sebaliknya, beliau berkata, PAS sudah berbincang dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) Melaka berkaitan pembahagian kerusi dan bakal dimuktamadkan tidak lama lagi.

Beliau menyifatkan kenyataan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin semalam yang gabungan itu akan bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekadar “menguji gelanggang perang”.

Katanya, Muhyiddin dipercayai cuba menimbulkan provokasi terhadap Umno untuk menguji situasi politik menjelang penamaan calon pada 8 Nov ini.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata, PN sudah menjangka keputusan Umno enggan bekerjasama dengan Bersatu, tetapi mengambil pendekatan berhemah menunggu parti itu menyatakan pendirian.

Katanya, rundingan dalam kalangan parti PN, termasuk PAS dan Gerakan akan diadakan segera untuk memastikan kemenangan gabungan itu dalam PRN.

Kamarudin berkata, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sudah “mengendurkan tali yang sebelum ini ditarik tegang” apabila menyatakan kerjasama Umno dengan PN akan dibawa ke perbincangan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Zahid dilaporkan berkata, keputusan muktamad kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dengan PN akan diumumkan dalam mesyuarat Biro Politik dan MKT yang diikuti Dewan Tertinggi BN sebelum penamaan calon.