Panas! Pas desak beri peluang kepada penagih dadah

Panas! Pas desak beri peluang kepada penagih dadah

Seorang ahli parlimen PAS menggesa kerajaan supaya tidak melabel penagih dadah sebagai penjenayah.

Sebaliknya, Sabri Azit (PN-Jerai) berkata bekas penagih dadah perlu diberi peluang kedua dan kesempatan untuk kembali bekerja.

“Saya menyokong langkah kerajaan untuk meminda undang-undang, agar penagih dadah yang tidak terlibat dengan jenayah tidak disenaraikan dalam daftar penjenayah dan orang yang tidak diingini.

“Bekas penagih dadah wajar diberi peluang kedua untuk meneruskan kehidupan di luar pusat Serenti dengan pekerjaan yang selayaknya.

“Justeru program rawatan pemulihan yang digunakan di Puspen, AADK, dikemaskini dengan cabaran realiti semasa.

“Modul pembangunan kerohanian perlu seirting dengan program kemahiran yang boleh diaplikasikan apabila mereka keluar dari Puspen,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Gesaan pelaksanaan dasar pengurangan mudarat terhadap masalah penagihan dadah mencapai momentumnya ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

Pun begitu, polisi berkenaan tidak terabai apabila Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin memaklumkan pada Feb, Rang Undang-Undang Penyalahgunaan Dadah dan Substan (Pencegahan, Rawatan dan Pemulihan) akan menggantikan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Penggubalan RUU itu bertujuan memulihkan pengguna dadah dengan pendekatan kesihatan dan bukannya menghukum mereka melalui pemenjaraan.

Sabri ketika berucap hari ini mengatakan modul pemulihan yang digunakan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) mesti dikemas kini untuk mencerminkan cabaran semasa.

Sementara itu, ahli parlimen PAS itu juga berkata program kesedaran antidadah mesti dipergiatkan dan diperkenalkan kepada rakyat Malaysia sejak daripada tadika dan diteruskan ke alam pekerjaan.

Semalam, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mencadangkan supaya kerajaan meneliti perbincangan yang terperinci berhubung kelulusan ganja sebagai rawatan alternatif.

Syed Saddiq berharap supaya kerajaan dapat membentangkan satu kertas kerja yang mengikut data dan sains mengenai manfaat dan keburukan dalam meluluskan industri hemp dan rawatan ganja.

Katanya, kerajaan boleh mengadakan satu jawatankuasa khas yang diwakili oleh pelbagai kementerian seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung perkara itu.

Bercakap pada hari ini, Darell Leiking (Warisan-Penampang) berkata ganja perubatan boleh menjadi tanaman komoditi bernilai tinggi bagi negara ini.

“Saya mencadangkan kepada kerajaan, jika ada keberatan di Semenanjung (untuk menanam ganja perubatan), mengapa tidak memberikan (hak itu) kepada Sabah,” tambahnya, lapor Malaysiakini.