Panas! Pas kata nasib Melayu Pulau Pinang bagaikan umat Palestin

Panas! Pas kata nasib Melayu Pulau Pinang bagaikan umat Palestin

Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Barat Daya (BD) yang masing-masing berada di tanah besar dan tanah pulau negeri ini sudah bagaikan Tebing Barat dan Genting Gaza di Palestin.

Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim memberi perbandingan tersebut sebagai gambaran terhadap baki pemilikan tanah orang Islam-Melayu di negeri ini yang menyamai nasib rakyat Palestin.

Dari segi demografi ujar beliau, hanya tiga dari 13 Parlimen di negeri ini merupakan kawasan majoriti Islam-Melayu iaitu 78.56 peratus di P.41 Kepala Batas dan 72.23 peratus di P.42 Tasek Gelugor.

Manakala di P.53 Balik Pulau beritahunya, yang merupakan satu-satunya kawasan majoriti Islam-Melayu masih tinggal di dalam pulau ini, sudah semakin menyusut dengan berbaki hanya 64.9 peratus.

Terang Iszuree, beliau menggambarkan sedemikian untuk umat Islam-Melayu menyedari bahawa gerakan berasaskan politik yang berlaku cuba mengambil alih pemilikan tanah dan mendominasi penempatan sedia ada.

Membongkar lebih terperinci, beliau membentang kembali keputusan PRU12 tahun 2008 di mana DAP berjaya menang 19 kerusi DUN, namun belum memadai mencapai majoriti mudah sendirian.

Menurutnya, demi menjayakan agenda parti itu tanpa halangan termasuk dari rakan politik, DAP tidak mustahil mensasarkan dua kerusi DUN Batu Maung dan Bayan Lepas di masa hadapan untuk mencapai 21 kerusi menguasai Pulau Pinang dengan meletakkan calon Melayu.

Jelasnya, dengan suara majoriti telah dimiliki DAP itu, peluasan kuasa dilaksanakan pula melalui pelbagai muslihat termasuk menerusi pembangunan yang giat diadakan di negeri ini dengan sokongan kapitalis.

Iszuree memberi contoh projek mega Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) secara pembangunan mewah yang tidak akan mampu dimiliki oleh rakyat tempatan terutama dalam kalangan orang Islam-Melayu.

Kata beliau, sekiranya PSR yang berada dalam Parlimen Balik Pulau itu dijayakan, maka ia bakal menambah sekitar 400,000 penduduk baharu yang sekali gus bakal berlaku pertambahan pengundi, Parlimen dan DUN baharu.

Begitu juga menurutnya, agenda di sebalik projek terowong dasar laut atau terbaharu mahu diubah sebagai jambatan ketiga yang akan menghubungkan George Town dan Bagan di Seberang Perai Tengah.

Bagi beliau, projek tersebut sebenarnya sebagai ‘pintu masuk’ ke SPU iaitulah ‘laluan pintas’ untuk menjadi rangsangan mengambil alih pemilikan dan seterusnya menguasai kawasan yang asalnya majoriti Islam-Melayu.

“Ini bukan bicara anti-pembangunan atau perkauman. Tetapi untuk menyedari agenda menelan kawasan majoriti Islam-Melayu yang mungkin akan lenyap 50 tahun akan datang, jika orang Melayu tidak menghentikan keghairahan menjual tanah mereka.

“Lebih jelas wujudnya perancangan ini apabila ada pemaju yang ada kaitan hubungan rapat dengan pihak kerajaan negeri telah ditahan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) berkaitan penjualan tanah milik Yayasan Bumiputera di Kepala Batas SP.

“Ini menunjukkan indikator mulanya usaha politik ke arah menawan dengan memecah masuk melalui proksi pemaju ke dalam SPU,” dedah beliau terhadap antara muslihat sedang giat dilaksanakan ke arah penguasaan politik dan pemilikan aset secara terancang itu.

Pecah dan perintah

Menurut beliau lagi, usaha tersebut termasuk memastikan undi orang Islam-Melayu tidak terpecah hanya dengan pertembungan satu lawan satu, sebaliknya sekecil mungkin melalui pertandingan banyak penjuru.

Akhirnya terang Iszuree, menerusi pertembungan ditaja sedemikian, rakan proksi kepada penaja akan memenangi kerusi tersebut dan melunaskan secara mudah segala kehendak atau agenda telah dimatlamatkan.

Beritahu beliau, peranan pemaju projek pembangunan dalam menjayakan muslihat berkaitan berlaku menerusi tawaran lumayan harga tanah untuk dibeli terutama di kawasan kampung di SPU.

“Pemaju pula selalunya akan menyogok orang Melayu tempatan untuk menjadi jarum memujuk rayu supaya dapat mempengaruhi masyarakat untuk menjual tanah.

“Kes penjualan tanah milik Yayasan Bumiputera kepada pemaju dengan cara tanpa kelulusan BOD (Ahli Lembaga Pengarah) Yayasan Bumiputera yang menjadi kes SPRM pada 2017 merupakan titik mula tindakan yang telah dirancang supaya misi pecah perintah dapat dijayakan,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau mengajak masyarakat negeri ini menyedari implikasi jangka panjang 50 tahun mendatang di mana SPU berisiko dikuasai oleh kapitalis bangsa DAP apabila pembangunan dikembangkan.

Menguasai jajaran demokrafi

Tambah beliau, rangkaian jaringan kuasa politik DAP dari Kedah sehingga ke selatan Perak bermula dari Alor Setar melalui Sungai Petani dan Tikam Batu di mana menuju ke Bukit Mertajam, Batu Kawan, Gopeng dan Ipoh.

Pun demikian ujarnya, untuk menguasai jajaran tersebut selain dari bantuan rakan politik atau proksi, DAP perlu melalui Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Nibong Tebal yang menuntutnya menang di situ.

“Rangkaian penguasaan jaringan ini akan menguasai bandar-bandar kecil akan dihubungkan ke bandar-bandar besar seperti George Town, Ipoh, Kuala Lumpur yang menjadi tulang belakang kuasa bangsa DAP dalam menguasai politik Tanah Melayu,” tegasnya mengingatkan.

Katanya, agenda DAP untuk mewujudkan kembali Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT) adalah agenda besar untuk menguasai politik bandar yang merupakan nadi ekonomi dalam menguasai politik negara.

Iszuree yang juga bekas Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang suatu ketika dahulu tidak menolak wujud perangai atau peranan pengkhianat ‘Si Kitol’ dalam kalangan orang Melayu yang bersekongkol dengan DAP.

Katanya, mereka ini menjadi pemudah cara dalam mempengaruhi orang Islam, di mana nasib orang Islam-Melayu di negeri ini telah disaksikan sebagaimana terhapusnya tanah warisan sejarah orang Melayu Kampung Batu Uban.

“Ini contoh di mana ia berpunca dari individu yang berperanan sebagai gangster kampung mencari makan menjadi ejen upahan kepada pemaju. Jadi perancangan strategik DAP ini perlu di sedari oleh masyarakat Islam khususnya orang Melayu dan parti-parti Melayu dan Islam.

“Jangan mudah menelan upahan dan rasuah politik dan proksi politik bangsa DAP melalui pemaju. Kerana terbukti ada parti politik Melayu yang tiada roh Islam telah gagal mempertahankan kepentingan tanah asal orang Melayu, malah menjadi menjadi ejen perancangan strategik DAP atau sekutunya,” nasihatnya, lapor Harakah.