Panas! Pelancong Langkawi jadi bahan eksperimen kerajaan

Panas! Pelancong Langkawi jadi bahan eksperimen kerajaan

Pengesanan kes Covid-19 dalam kalangan pelancong ke Pulau Langkawi mendorong gesaan supaya langkah lebih ketat diambil dalam mengendalikan inisiatif gelembung pelancongan.

Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, idea gelembung pelancongan masih di “peringkat eksperimen”, dan SOP lebih ketat sepatutnya dikuatkuasakan bagi memastikan keselamatan pelancong dan kejayaan program berkenaan.

“Apabila kita dapat pastikan keselamatan mereka, baharulah kita boleh hapuskan sekatan secara berperingkat,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, sembilan kes Covid-19 yang dikesan melibatkan pelancong ketika memasuki Pulau Langkawi, iaitu lokasi pertama gelembung pelancongan yang dibuka kepada pengunjung bermula 16 Sept lalu.

Selepas kes dikesan, Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad menyuarakan kebimbangan berhubung kurangnya penjarakan fizikal dalam kalangan pelancong yang menaiki kapal terbang dan feri.

Selain Pulau Langkawi, tiga destinasi pelancongan baharu yang dijangka menyertai gelembung pelancongan ialah Melaka, Genting Highlands dan Pulau Tioman.

Lee mencadangkan beberapa langkah dikuatkuasakan bagi gelembung pelancongan seperti pergerakan hanya membabitkan pelancong yang lengkap divaksin, saringan awal Covid-19, pelaksanaan SOP ketat.

“Pelancong juga perlu dipantau selama empat minggu selepas kembali dari Langkawi supaya kita dapat lebih memahami kesan terhadap gelembung pelancongan,” tambahnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Koh Kar Chai turut menyuarakan kebimbangan sama.

Beliau memberitahu FMT, pihak berkuasa harus mempertimbangkan untuk tidak membenarkan pelancong yang mengalami gejala penyakit seperti influenza (ILI) atau Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

“Syarikat penerbangan juga harus memastikan sanitasi pesawat dilakukan secara berkala sesuai dengan garis panduan yang diberikan,” katanya.