Panas! Pemuda ini tempelak cadang penggabungan PKR-AMANAH, ini alasan beliau

Panas! Pemuda ini tempelak cadang penggabungan PKR-AMANAH, ini alasan beliau

 

Menolak Idea Penggabungan KEADILAN dan AMANAH

Telah timbul idea penggabungan antara dua parti komponen Pakatan Harapan iaitu Parti Keadilan Rakyat dan Parti AMANAH Negara oleh Prof Wong Chin Huat dan perkara ini dalam makluman kedua parti. Namun tulisan ini lebih kepada respon terhadap kenyataan bekas ketua AMK Selangor, Najwan Halimi yang siarkan kenyataan menyokong idea ini.

Dari satu sudut idea, ada kewajaran memandangkan AMANAH juga membawa naratif politik Islam yang mirip KEADILAN, jika AMANAH sinonim dengan Rahmatan Lil Alamin, manakala Keadilan sinonim dengan konsep Li taarafu.

Keduanya ada idea dalam agama yang menjadi panduan parti dan saling memerlukan antara satu sama lain.

Jika Keadilan dengan konsep masyarakat madani, Amanah pula membawa konsep progresif. Apa bezanya?

Madani adalah maju dari sudut ekonomi, intelektual, dan rohani , manakala Progresif adalah menuju kearah kemajuan. Kedua perkara ini ada persamaan yang cukup jelas.

Penggabung KEADILAN dan AMANAH akan membentuk satu parti yang lebih kuat apabila, memetik Najwan, kepimpinan dalam AMANAH mengisi kekosongan @ vacum dalam Keadilan setelah berlakunya langkah Sharaton.

Banyak justifikasi Prof Wong adalah benar, isu sokongan rakyat, mematikan sentimen DAP ketuai PH dll.

Jadi idea ini nampak realistik , kan? Namun ia harus ditolak ahli dan kepimpinan AMANAH.

Kerana apa?

Apabila berlaku penggabungan, pasti akan ada yang lebih dominan, KEADILAN sebagai parti yang lebih lama, ahli lebih ramai pasti lebih dominan.

Dalilnya, apabila disebut oleh Najwan, adalah benda yang akan berlaku sekiranya penggabungan berlaku. Ahli ahli AMANAH akan mengisi kelompangan yang ada dalam struktur KEADILAN, ia sama sahaja seolah bubarkan AMANAH dan ramai ramai sertai KEADILAN.

Parti AMANAH bukan sebuah parti yang lekeh dan lemah, ramai yang lupa kepimpinan parti AMANAH adalah mereka yang membangunkan PAS sebelum ini.

Pengalaman mereka dalam membangunkan PAS itu, membuatkan AMANAH yang berusia 6 tahun ini sudah establish dalam arena politik negara.

Parti AMANAH punyai aset yang tidak dimiliki oleh kebanyakan parti lain, kita ada media / portal yang menjadi rujukan rakyat, Malaysiadateline.com, kita ada team Media yang paling cekap, Media Oren , kita ada portal berita Jom Channel yang sedang meningkat naik. Kita ada lebih lagi dari sudut media.

Iyalah parti lain ada portal media dan media juga, tapi cukup establishkah yang menjadi rujukan rakyat atau admin masih terpaksa blast link dalam group group untuk dapatkan pembaca ?

Sebagai sebuah parti politik, adakah parti lain ada platform seperti IVoter yang memodenkan kaedah kemaskini data culaan? Aku ingat sebelum PRU14 sewaktu bersama bincang dengan rakan komponen soal aktiviti culaan, mereka sebut “kita kena ke SPR untuk dapatkan senarai daftar pemilih”, 😃

Ya kita tidak sekaya parti parti lain, rakan kita jauh lagi besar dan gah namun dengan usia 6 tahun namun kita memiliki aset asas sebagai sebuah parti politik.

Benda ini mungkin kecil dan remeh bagi sebilangan orang, namun menurut pandangan aku, ia perkara besar oleh sebuah parti politik yang mahu menjadi sebuah parti masa hadapan.

AMANAH adalah sebuah parti yang tidak ketandusan kepimpinan, dan mereka ini adalah pemimpin utama parti bukan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

AMANAH adalah parti yang dibangunkan bukan dengan bergantung pada tokoh, sebaliknya iltizam ahli parti yang percaya AMANAH sebagai sebuah wadah yang mereka percaya punyai roh sebagai sebuah parti Islam di Malaysia.

Ya ada jatuh dan bangun AMANAH, ada keputusan yang salah dibuat, ada lemah dan kurangnya parti AMANAH namun kerana asas kita bukan pada individu, kita akan kekal bergerak, berjalan sekali pun tidak berlari.

Kita telah bina AMANAH hingga ke tahap ini, adalah amat salah untuk pergi bergabung untuk mengisi kekosongan struktur parti orang lain.

Soal jentera, penerimaan luar bandar, harus diperkasakan melalui Pakatan Harapan, bukan penggabungan.

Benar, kelansungan AMANAH hari ini turut bergantung pada rakan rakan dalam Pakatan Harapan, KEADILAN, DAP adalah rakan yang membuatkan AMANAH mampu berdiri, hal ini biasa. KEADILAN satu ketika dahulu juga berdiri dengan adanya rakan seperti PAS dan DAP, hingga akhirnya menjadi parti terkuat di Malaysia hari ini.

Kita tidak mendabik dada atau sombong, kita percaya rakan kita juga ada kelebihan dan aset besar mereka, bahkan mereka lebih besar dari AMANAH hari ini, cuma kita mahu parti AMANAH ini dipertahan sebagai sebuah parti politik dan tidak dimatikan atas nama penggabungan dengan parti lain sebagai dominan.

Muammar Qaddafi bin Mohd Nasir
Pemuda AMANAH Terengganu