Panas! Pemuda Pas kata kuasa Pas minoriti dalam kerajaan melayu Islam

Panas! Pemuda Pas kata kuasa Pas minoriti dalam kerajaan melayu Islam

 

Pemuda PAS diingatkan agar jangan mudah terpengaruh dengan dakyah sesetengah pihak yang sengaja mencari kelemahan parti tersebut.

Ketua Pemuda PAS Tambun, Hafez Sabri berkata, ada sesetengah pihak yang mempersendakan apa yang PAS sedang laksanakan dalam kerajaan persekutuan, dengan membandingkan parti itu ketika menjadi pembangkang yang dikatakan lebih nyaring bersuara dalam memperjuangkan Islam berbanding sekarang ini.

“Sebenarnya PAS sudah berusaha ke arah itu biarpun hanya dengan memiliki kuasa minoriti dalam kerajaan sekarang ini.

“Malah, PAS antara parti yang tegas mendesak kerajaan menarik balik kelulusan penambahan cabutan khas judi daripada 8 kepada 22, pada tahun ini,” tegasnya.

Sehubungan itu, menurut Hafez, golongan pemuda yang berjuang dalam PAS perlu mempunyai fikiran yang matang dan sentiasa memandang ke hadapan dalam setiap tindak-tanduknya.

“Sejarah yang telah berlaku (menunjukkan) ramai dalam kalangan pemuda tersungkur lari dari landasan perjuangan parti kerana bertindak tanpa berfikir secara matang.

“Golongan itu mudah terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu yang beranggapan perjuangan PAS tidak selari dengan Islam,” tegasnya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Tambun ke-34, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, golongan berkenaan apabila ditanya parti mana yang selari dengan perjuangan Islam, ternyta tidak mampu memberi jawapan kerana sekadar terpengaruh dengan anasir dan dakyah yang mahu merosakkan pemikiran mereka.

“Sebenarnya kita tidak mampu menafikan perjuangan PAS dalam arena politik Malaysia dahulu sehingga sekarang yang tegas membawa suara-suara Islam.

“Golongan pemuda yang berada dalam gerakan Islam seperti PAS sentiasa dididik dan disemai dengan nilai-nilai tarbiyah Islam yang mampu menjadi benteng kepada pemikiran yang boleh merosakkan (pemikiran) mereka,” katanya, seperti dilaporkan Harakah Daily.