Panas! Pemuda Umno tempelak ulamak Pas, suruh tabayyun sebelum tibayyun

Panas! Pemuda Umno tempelak ulamak Pas, suruh tabayyun sebelum tibayyun

 

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan Anggota Jawatankuasa Ulama PAS Pusat Mokhtar Senik agar bersikap “tabayyun” sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan.

Asyraf berkata Mokhtar sepatutnya menyelidik kesahihan berita terlebih dulu sebelum mengkritiknya.

Jelas Asyraf, dia tidak pernah sesekali mengeluarkan kenyataan bernada bongkak mahupun angkuh mengenai keupayaan Umno untuk bertanding secara sendirian.

“Saya menghormati saudara saya al-fadhil Ustaz Mokhtar Senik. Namun, dalam komentarnya (yang saya masih berharap disalah lapor oleh Malaysiakini) seharusnya sebagai seorang ulama, wajar semak dahulu (tabayyun).

“Sama ada benarkah saya pernah mengeluarkan kenyataan yang kononnya memaparkan berita ’60 tahun Umno bertanding sendiri, tak ada masalah nak menang: Asyraf’.

“Mana mungkin saya keluarkan kenyataan yang faktanya pun tidak betul kerana Umno tidak pernah bertanding sendiri selama lebih 60 tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Mokhtar (gambarmenegur Pemuda Umno berhubung isu hubungan antara kedua-dua parti yang ketika ini dilihat tidak menentu.

Mokhtar dilaporkan berkata apabila Tuhan memberi peluang untuk sesuatu pihak menjadi insaf, peluang tersebut perlu direbut segera dan ia juga kesempatan mengenal rakan dan lawan, serta mengingatkan kesombongan hanya akan mengundang kehinaan kepada pihak terbabit.

Dia turut berkongsi tangkap layar laporan media yang memetik laporan media bertajuk “60 tahun Umno bertanding sendiri, tak ada masalah nak menang: Asyraf” yang didakwa dikeluarkan Ketua Pemuda Umno itu.

Dalam pada itu Asyraf menjelaskan bahawa seawal Pilihan Raya Umum Tanah Melayu pertama pada 1955, Umno bergabung dengan pelbagai parti lain membentuk gabungan dikenali sebagai Perikatan sehinggalah pada 1973 apabila BN ditubuhkan dengan tambahan parti-parti lain termasuk PAS.

Katanya, Sehingga PRU14 lalu, Umno masih bertanding bersama pelbagai parti-parti komponen lain dan tidak secara sendirian.

“Justeru, tidak benar saya ada mengeluarkan kenyataan bahawa Umno biasa bertanding sendirian selama 60 tahun sehingga memperlihatkan seolah-olah kenyataan yang bongkak dan sombong sebagaimana didakwa,” katanya.

Tambah Asyraf, dia terpaksa menulis hantaran tersebut bagi memperbetulkan dan bukan bermaksud untuk berbalah dengan sesiapa.