Panas! Perlukah rakyat kibar bendera putih lagi kerana harga barang?
Bagaikan jatuh ditimpa tangga, rakyat sekali lagi berdepan saat getir susulan kenaikan harga barang keperluan harian ketika era pandemik COVID-19.
Lantaran itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat menggesa kerajaan menjawab beberapa persoalan berhubung langkah bagi menangani isu ini yang dilihat membebankan rakyat.
“Apakah strategi kerajaan untuk membantu rakyat. Apakah kepatuhan rakyat mematuhi SOP selama ini dibayar dengan disusahkan lagi. Berapa banyak kesusahan lagi yang perlu ditanggung oleh rakyat.
“Berapa banyak kes bunuh diri dan bankrap lagi akan berlaku. Adakah bendera putih akan dikibarkan sekali lagi,” soal beliau.
Ustaz Masridzi menegaskan walau apa pun alasan, sememangnya tugas para pemimpin dan pihak berkuasa yang diberi gaji, jawatan, pingat, kuasa serta peruntukan untuk menunaikan aku janji sumpah yang dilafazkan untuk menolong rakyat.
Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) itu tidak menolak kemungkinan pihak berkenaan akan ‘ditolak’ rakyat sekiranya tidak berusaha menangani isu tersebut sebaiknya.
“Jangan sampai PRU15 diboikot kerana rakyat kecewa, muflis dan kebuluran,” katanya, seperti dilaporkan Ismaweb.net.