Panas! Persatuan agensi umrah tempelak menteri agama, tak faham realiti isu

Panas! Persatuan agensi umrah tempelak menteri agama, tak faham realiti isu

 

Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) menyarankan bakal jemaah umrah menunda pelaksanaan ibadat itu berbanding menuntut pemulangan wang yang sudah dibayar mereka.

Presiden, Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata beliau memahami situasi dihadapi bakal jemaah yang tidak dapat menunaikan ibadat itu disebabkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi akibat pandemik COVID-19.

“Saya meminta kerjasama semua bakal jemaah supaya menunda tarikh mereka melakukan ibadat umrah buat masa ini. Jika agensi pelancongan terpaksa memulangkan wang mereka, syarikat terbabit akan menerima kesan.

“Ini kerana ada syarikat sudah melakukan pembayaran untuk bakal jemaah di Arab Saudi seperti bayaran pakej di sana, hotel dan lain-lain lagi. Jadi bagaimana nak pulangkan sebab bayaran sudah dibuat di sana (Arab Saudi),” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau mengulas saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, supaya agensi pelancongan yang menguruskan ibadat umrah segera memulangkan wang yang sudah dibayar bakal jemaah tetapi tidak dapat meneruskan ibadat itu akibat pandemik COVID-19 sejak tahun lalu.

Idris dilaporkan berkata, bayaran balik itu perlu kerana SOP Arab Saudi kini menetapkan syarat kelayakan jemaah mesti berusia 18 hingga 60 tahun menyebabkan ramai bakal jemaah negara ini berusia lebih 60 tahun yang mendaftar tahun lalu, tidak dapat menunaikan umrah walaupun bayaran sudah dibuat.

Mengulas lanjut, Razali berkata, penundaan tarikh dilihat lebih baik kerana bakal jemaah masih boleh melakukan ibadat itu pada waktu lain.

“Saya minta jemaah bersabar kalau desak syarikat, syarikat tak mampu nak pulangkan (refund), boleh mengakibatkan syarikat ditutup dan akhirnya semua jemaah tak boleh pergi namun jika tunda ke tarikh lain, mereka boleh sambung semula untuk pergi menunaikan ibadat umrah.

“Mengenai syarat Arab Saudi kata usia lebih 60 tahun tak boleh menunaikan umrah, setahu saya lebih 60 tahun masih boleh menunaikan ibadat itu. Cuma 18 tahun ke bawah yang tidak dibenarkan,” katanya.

Justeru, beliau berharap bakal jemaah dapat bersabar dan berbincang dengan agensi pelancongan masing-masing untuk menyelesaikan isu dihadapi.