Panas! PH kena serang dengan WARISAN di parlimen

Panas! PH kena serang dengan WARISAN di parlimen

Presiden Warisan Shafie Apdal seolah-olah memerli Pakatan Harapan (PH) berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani gabungan itu dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Di Dewan Rakyat hari ini, Shafie (Warisan-Semporna) bercakap mengenai nilai-nilai ahli politik.

“Pihak pembangkang kata ‘Langkah Sheraton’ curi mandat diberikan rakyat dan sekarang, kita bekerjasama dengan mereka,” katanya ketika perbahasan usul Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.

“Di mana nilai-nilai dalam hidup kita? Sebagai pemimpin, kita perlu perjelaskan (hal ini),” lapor FMT.

Shafie berkata, beliau tidak mahu terbabit dengan MoU berkenaan.

“Jika saya tandatangani MoU, dan kerajaan gagal, saya juga akan gagal. Rakyat memerhati,” tambahnya.

Katanya, Malaysia boleh menjadi contoh terbaik buat dunia bagaimana masyarakat berbilang kaum dapat hidup dengan harmoni.

“Tanpa melihat bangsa dan agama, kita sepatutnya dapat menyatupadukan negara. Itu boleh jadi satu langkah ke hadapan.”

Namun, katanya, ahli-ahli politik didorong “ketamakan dan keghairahan” mendapatkan kedudukan.

Mengingatkan mereka bahawa kekayaan tidak boleh dibawa ke liang lahad, beliau berkata: “Kita dilahirkan miskin dan akan meninggal dunia dalam keadaan miskin. Tak boleh bawa apa-apa (ketika mati).”

Mengenai Belanjawan 2022, Shafie berkata, beliau akan menyokongnya jika dana tersebut dibelanjakan dengan “bijaksana” dan jika ia mesra rakyat dan menguntungkan negara.

Sokong ‘saraf’ ekonomi

Shafie berkata, kadar pengangguran di Malaysia membimbangkan dengan lebih 770,000 pekerja diberhentikan, dan mungkin jutaan lagi tiada pekerjaan.

Beliau mengingatkan Putrajaya bahawa hampir 70% daripadanya hasilnya datang daripada sektor swasta, di mana ketika wabak, banyak syarikat mengalami kesulitan.

Sebahagian besar daripada pakej rangsangan bernilai RM500 bilion yang diumumkan kerajaan terdahulu, katanya, datang daripada simpanan rakyat, termasuk caruman mereka dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Wujud keperluan untuk tahu hasil setiap sen dibelanjakan, bagaimana ia membantu mencipta pekerjaan. Jika kita belanja RM100 juta, berapa banyak pekerjaan dapat diwujudkan daripada jumlah itu?”

Katanya, tidak cukup hanya beri bantuan kepada golongan M40 dan B40, malah kerajaan perlu sokong “saraf ekonomi”.

Sebagai contoh, premis perniagaan runcit boleh dibantu untuk membayar bil elektrik dan sewa.

“Pemiliknya kemudian dapat mengekalkan pekerjaan untuk pekerjanya. Ini mengenai penciptaan pekerjaan,” katanya.

Beliau juga menggesa Putrajaya untuk memberi perhatian kepada nasib perusahaan kecil dan sederhana.