Panas! PH turunkan, ‘kerajaan Pas’ naikkan berganda cabutan judi

Panas! PH turunkan, ‘kerajaan Pas’ naikkan berganda cabutan judi

Kerajaan hari mengesahkan mereka memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.

Hal itu dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat hari ini.

“Untuk maklumah ahli Dewan (Rakyat), Kementerian Kewangan telah meluluskan permohonan daripada semua agensi nombor ramalan untuk cabutan khas sebanyak 22 kali bagi tahun 2021,” katanya, lapor Malaysiakini.

Tengku Zafrul memberitahu hal itu sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar.

Terdahulu Mahfuz meminta Tengku Zafrul menyatakan berapakah jumlah cabutan khas nombor ramalan yang dibenarkan kerajaan sepanjang tahun ini.

Untuk rekod sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan (PH) menurunkan kekerapan cabutan khas oleh syarikat perjudian itu menjadi hanya lapan kali setahun.

Bagaimanapun ia kembali menjadi 22 kali selepas kerajaan baru dibentuk pada akhir Feb tahun lalu.

Ia tidak termasuk caburan biasa yang diadakan beberapa kali setiap minggu.

Ia kemudian dikritik pelbagai pihak kerana sebelum ini Perikatan Nasional (PN) didakwa sebagai sebuah kerajaan Melayu-Islam, terutama dengan penyertaan PAS di dalamnya.

PAS yang kini menjadi parti komponen PN pernah lantang mengkritik kerajaan dan pengoperasian syarikat judi, termasuk pembukaannya ketika perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebelum ini anggota Dewan Negara Liew Chin Tong menjelaskan pada 2020 cabutan khas nombor ramalan empat digit itu dimulakan pada 1999 untuk membantu mangsa wabak virus Nipah.

Asalnya kekerapan cabutan itu ialah tiga kali seminggu.

Menurut Liew sebahagian besar pendapatan daripada cabutan khas berkenaan disumbang terus kepada aktiviti kerajaan.

Pada 2017 – di sebalik tiadanya ancaman virus Nipah – kerajaan mengutip sejumlah RM238 juta daripada cabutan khas tersebut.

Pada awal Jan lalu Pemuda PAS ada menyatakan rancangan mereka untuk bertemu Tengku Zafrul atau Kementerian Kewangan bagi membincangkan isu berkenaan.