Panas! Polis sahkan Adun PN merogol pembantu rumah
Pegawai penyiasat kanan polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini bahawa beliau percaya bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong telah merogol pembantu rumah warga Indonesia dalam kejadian di sebuah rumah di Meru di sini, pada Julai 2019.
Asisten Superintendan Yap Siew Cheng daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh yang juga saksi pendakwaan ke-23 berkata, ia berdasarkan siasatan dibuatnya yang menunjukkan tertuduh merogol mangsa.
“Saya tidak bersetuju dengan kenyataan mangsa tidak dirogol kerana hasil siasatan saya menunjukkan mangsa telah dirogol oleh tertuduh.
“Saya juga melakukan siasatan lanjut dan penilaian dengan telco (syarikat). Berdasarkan itu, setiap maklumat yang diberikan mangsa dari segi masa dan tarikh adalah sepadan,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Azalina Rashdi di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab, lapor Harian Metro.
Terdahulu, peguam utama Yong, Datuk Rajpal Singh mencadangkan kepada Yap bahawa Yong tidak merogol mangsa dan bertanya sama ada Yap benar-benar melengkapkan siasatannya dengan adil.
“Penyiasatan saya sudah lengkap sehingga arahan pendakwaan dikeluarkan (ke atas Yong),” jawabnya.
Rajpal berkata, Yap tidak melakukan siasatan dengan betul dan menggambarkannya sebagai berat sebelah kerana mangsa tidak dihantar menjalani penilaian kesihatan mental, meskipun aduan dibuat tertuduh.
Kata peguam itu, dalam keterangan Yong mendakwa kerap mendengar mangsa menyanyi dan bunyi pelik selain mangsa tidur dengan lampu terbuka.
Yap bagaimanapun menjelaskan, mangsa tidak dirujuk kepada pakar psikiatri memandangkan laporan perubatan dari Indonesia yang disediakan untuk bekerja di Malaysia menunjukkan tahap mentalnya normal.
Rajpal berkata, laporan perubatan itu tidak lagi sah untuk kes berkenaan kerana pemeriksaan dibuat lebih dua bulan sebelum tuduhan pemerkosaan.
Tambahnya, sekurang-kurangnya dua campuran DNA tidak dikenali diambil dari tempat kejadian dan ia bukan milik mangsa, tertuduh atau ahli keluarga tertuduh.
Ditanya sama ada Yap menyiasat pemilik DNA terbabit, pegawai itu menjawab tidak.
Sementara itu, peguam Salim Bashir menyoal Yap sama ada mangsa ada menyebut dalam diarinya bahawa dia diganggu secara seksual atau dirogol oleh rakan sekerja.
Yap menjawab tiada perkara itu tertulis dalam diari mangsa, namun terdapat ayat yang ditulis dalam dialek Indonesia yang bermaksud ‘awas dan tunggu, f**k’, sehari sebelum dakwaan rogol.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober untuk serahan bertulis dan 16 November untuk pendengaran kedua-dua pihak.
Yong, 51, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merogol pembantu rumah Indonesia di kediamannya di Taman Meru Desa, antara 8.15 malam dan 9.15 malam 7 Julai 2019.