Panas! PPIM gesa siasat pengurusan Covid-19 yang mencecah RM600 bilion

Panas! PPIM gesa siasat pengurusan Covid-19 yang mencecah RM600 bilion

Presiden Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan menggesa siasatan dilakukan terhadap perbelanjaan pengurusan Covid-19 yang mencecah RM600 bilion.

Katanya, beliau mendapat maklumat dan aduan daripada orang ramai mengenai perbelanjaan yang dikatakan ‘tidak masuk akal’ itu.

“Kita mahu mendapatkan perhatian daripada  Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyatakan kerisauan kita terhadap perkara ini dan kita mahu perkara ini tidak berlaku lagi selepas ini .

“Sebenarnya lansung tidak masuk akal dengan belanja banyak ini. Hari ini kita mahu bawa perkara ini ke hadapan dan mahu perkara ini di pandang serius oleh pihak bertanggungjawab,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Selain itu, dalam sidang media yang sama, Dr Manimala yang juga perunding Patologi, mahu jawatan Menteri Kesihatan selepas ini diisi oleh pengamal perubatan.

“Saya ingin meminta Menteri Kesihatan selepas ini adalah pengamal perubatan kerana cabang perubatan ini adalah sains kompleks yang tidak mudah difahami oleh yang tiada ijazah yang sewajarnya,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, ada kenyataan yang diberikan oleh Menteri Kesihatan mengenai vaksin Covid-19 bercanggah dengan kenyataan Pentadbiran Makanan dan Ubat Amerika Syarikat (FDA).

Terdahulu, pada 12 April tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membelanjakan RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan beberapa pakej rangsangan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat Covid-19.

Menurut Malakat Tribune News, jumlah itu masing-masing melibatkan RM340 bilion bagi pakej-pakej rangsangan dan RM322 bilion untuk belanjawan.