Panas! Puad ingatkan Umno jangan masuk lubang dua kali!
AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpendapat Umno tidak harus bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau menegaskan Umno tidak seharusnya masuk ‘lubang biawak kali kedua’ dengan memberi peluang kepada Bersatu dalam pilihan raya.
Katanya, Bersatu seharusnya membuktikan kejujuran politiknya di peringkat Kerajaan Pusat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT). Pasti ramai menunggu keputusan malam ini sama ada solo, bersama Muafakat Nasional (MN) atau kerjasama BN-PN (Perikatan Nasional).
“Pokoknya Umno tidak boleh dipatuk ular kali kedua,” katanya dalam hantaran di Facebook, menurut laporan Malaysiapost.
Malam ini, MKT Umno akan mengadakan mesyuarat yang antara intipatinya untuk memuktamadkan sama ada parti itu akan bekerjasama dengan PAS pada PRN Melaka ini.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis perasmian jentera BN untuk PRN Melaka, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi melaungkan parti itu tidak akan sesekali bekerjasama dengan Bersatu dalam mana-mana pilihan raya yang akan diadakan.
Katanya, ia selari dengan keputusan perwakilan dalam Persidangan Agung Umno (PAU) pada Mac lalu untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya.