Panas! Ramasamy sekolahkan Ismail Sabri tentang Keluarga Malaysia

Panas! Ramasamy sekolahkan Ismail Sabri tentang Keluarga Malaysia

Tidak salah berbicara kepada dunia mengenai kepentingan konsep keluarga, namun Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mesti memastikan ia dilaksanakan dalam negara terlebih dahulu, kata seorang pemimpin DAP.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkata, terlalu banyak dasar dan amalan yang membawa perpecahan di Malaysia yang perlu diperbaiki sebelum Ismail membawa konsep itu ke pentas dunia.

“Tidak mengapa Ismail berbicara mengenai konsep keluarga, tetapi beliau harus memastikan ia dilaksanakan terlebih dahulu dalam negara ini.

“Barulah Ismail dapat berbicara kepada dunia melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Selagi belum dilaksana, beliau harus fokus untuk melakukan perubahan yang dijanjikan kepada pembangkang dalam memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan,” katanya dalam kenyataan, lapor FMT.

Dalam ucapan perdananya di Perhimpunan Agung PBB semalam, Ismail berkata, keperluan kebersamaan atau keluarga paling penting untuk menyelesaikan masalah dunia.

Katanya, konsep satu keluarga global berguna untuk membendung gelombang wabak Covid-19 atau masalah-masalah yang berpunca daripada perbezaan ekonomi yang jelas antara negara-negara kaya, berpendapatan sederhana dan miskin.

Memetik pertikaian terbaru yang timbul berkait keputusan Kementerian Kewangan bahawa 51% ekuiti mesti dikhususkan bagi syarikat-syarikat Bumiputera dalam sektor penghantaran fret, Ramasamy berkata, arahan yang terang-terangan bersifat rasis itu mencabar konsep keluarga yang dianjurkan Ismail.

“Dengan kata lain, syarikat penghantaran fret bukan Bumiputera mesti menyerahkan 51% ekuiti sahamnya kepada syarikat Bumiputera jika mereka telah memperoleh lesen kastam.

“Ismail tidak boleh bercakap mengenai rakyat Malaysia sebagai satu keluarga yang besar apabila agensi-agensi kerajaan sendiri cenderung mendiskriminasi rakyat Malaysia berdasarkan bangsa dalam peruntukan lesen. Syarat itu hanya ditangguhkan dan tidak dimansuhkan,” katanya.

Dalam konteks ini, Ramasamy berkata, rakyat selalu berharap kerajaan mengambil tindakan yang tepat dan tidak memecahbelahkan ahli-ahli “keluarga” mengikut bangsa dan agama.

“Kerajaan terdahulu gagal kerana bangsa dan agama menjadi alat yang berguna untuk dominasi politik.

“Hanya masa yang akan menunjukkan sejauh mana kerajaan semasa bawah Ismail akan melaksanakan konsep keluarga walaupun terdapat perpecahan mengikut etnik dan agama,” katanya, sambil menambah, bahkan Ismail sendiri pernah membuat kenyataan bersifat perkauman sebelum ini.