Panas! Rauf tak mengaku tolak Sulaiman

Panas! Rauf tak mengaku tolak Sulaiman

 

DATUK Seri Ab Rauf Yusoh menafikan berlaku perbalahan dalam Umno Melaka berhubung pelantikan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri semalam.

Pengerusi Perhubungan Umno Melaka itu berkata, dakwaan berkenaan adalah tidak benar, sebaliknya semua kepemimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) akan membantu Sulaiman dalam membangunkan negeri.

“Saya ingin menegaskan, tiada sebarang kemelut atau perbalahan dalam pelantikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka semalam. Itu cuma khabar angin yang patut ditolak.

“Kami, kepemimpinan Umno di enam bahagian berjanji dan berazam untuk membantu Datuk Seri Sulaiman dalam mengurus, mentadbir serta membangunkan Melaka selain berusaha merealisasikan manifesto pilihan raya yang dibentangkan sebelum ini,” katanya pada sidang media dipetik Harian Metro, malam ini.

Hadir sama adalah Sulaiman, Ketua Bahagian Umno Kota Melaka Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua Bahagian Umno Jasin Datuk Hasan Abd Rahman dan Ketua Bahagian Umno Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali.

Semalam, dilaporkan berlaku kemelut kepemimpinan apabila Ab Rauf dikatakan menolak cadangan untuk menamakan Sulaiman sebagai Ketua Menteri Melaka.

Menguatkan lagi spekulasi, Sulaiman secara mengejut mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada 12.58 tengah malam beberapa jam selepas BN diisytihar menang dalam PRN Melaka.

Sementara itu, Ab Rauf yang menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara turut berterima kasih kepada semua pengundi serta rakyat Melaka yang memberi semula mandat kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semalam.

Katanya, walaupun peratusan yang keluar mengundi tidak menepati sasaran, namun majoriti pengundi secara jelas memberi mandat baharu kepada BN untuk mentadbir Melaka menerusi bilangan kerusi dimenangi melebihi dua pertiga.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua pengundi. Insya-Allah semua kepemimpinan parti akan membantu Datuk Seri Sulaiman untuk menunaikan janji pilihan raya yang dinyatakan sebelum ini,” katanya, menurut laporan Malaysiapost.