Panas! Selepas kes Najib, tiba-tiba kontrak CEO LHDN ditamatkan

Panas! Selepas kes Najib, tiba-tiba kontrak CEO LHDN ditamatkan

 

KONTRAK perkhidmatan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah ditamatkan berkuat kuasa esok.

LHDN dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, kerajaan bersetuju untuk memendekkan kontrak perkhidmatan Sabin.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) LHDN, Datuk Mohd Nizom Sairi dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LHDN yang baharu berkuat kuasa esok untuk menggantikan Sabin.

“LHDN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Dr Sabin Samitah atas sumbangan bakti selama beliau berkhidmat dengan LHDN dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau,” kata kenyataan itu, lapor Malaysiapost.

Kenyataan itu menjawab desas-desus peletakan jawatan beliau yang bertiup kencang sebelum ini.

Pada 9 September lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap LHDN dengan mendakwa saman tuntutan cukai yang dikenakan kepadanya bermotifkan politik.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, pegawai LHDN dan ahli politik tertentu telah menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu dengan tujuan menganiaya dirinya.

Terdahulu, kerajaan memfailkan saman terhadap Najib pada Jun 2019 bagi menuntut lebih RM1.69 bilion dengan kadar faedah lima peratus setiap tahun bermula dari tarikh penghakiman serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib dilaporkan tidak mengisytiharkan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh tersebut termasuk RM2.6 bilion yang didakwa penyiasat Amerika Syarikat berasal dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).