Panas! SPRM tangkap tiga pegawai SPRM isu penyelewengan

Panas! SPRM tangkap tiga pegawai SPRM isu penyelewengan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan tiga pegawai kannannya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap “seorang bekas ketua jabatan.”

“SPRM ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya ini tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.

“Ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula 14 hingga 19 September 2021,” kata suruhanjaya antirasuah itu pada satu kenyataan hari ini, lapor Malaysiakini.

SPRM juga menegaskan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan.

Ini beberapa jam selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan menafikan polis menerima sebarang laporan mengenai tiga pegawai SPRM berkenaan.

Kenyataan polis pagi ini susulan hantaran viral baru-baru ini mengenai bekas ketua pengarah Badan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Hasanah Abdul Hamid yang didakwa pada 2018 dalam kes pecah amanah (CBT) membabitkan RM50.4 juta milik kerajaan.

SPRM menyita wang tunai dan barangan daripada Hasanah berkaitan siasatan kes itu.

Hasanah kemudian dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada pertuduhan dalam perbicaraan kes pada April tahun ini.

Terdahulu, laporan viral itu mendakwa ketika Hasanah berusaha mendapatkan wangnya, dia mendapati hanya sebahagian wang yang tertinggal dan selebihnya diganti dengan wang kertas palsu.