Panas! Sultan Johor titah kerajaan batal rayu keputusan mahkamah kes status kerakyatan

Panas! Sultan Johor titah kerajaan batal rayu keputusan mahkamah kes status kerakyatan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya kerajaan persekutuan membatalkan rayuan keputusan hak kerakyatan anak kepada ibu warganegara Malaysia yang lahir di luar negara.

Sambil memetik ungkapan “Keluarga Malaysia” yang digunakan oleh kerajaan kini, baginda bertitah supaya peguam negara segera menarik semula rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

“Kesucian mahkamah mesti dipelihara. Mengapa ibu warganegara Malaysia yang melahirkan di luar negara perlu alami diskriminasi? Ini adalah hak asasi setiap anak yang dilahirkan, tidak kira ibu atau bapanya yang merupakan warganegara Malaysia.

“Ada sesuatu yang tidak kena apabila pihak bapa dan ibu dipandang secara berbeza daripada sudut undang-undang dalam soal berkaitan kerakyatan anak mereka.

“Adakah ibu dan bapa mempunyai taraf kerakyatan Malaysia yang berbeza?,” titah baginda menerusi Royal Press Office (RPO) hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat susulan kerajaan membuat pemfailan di Mahkamah Rayuan memohon membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 September lalu bahawa bayi lahir di luar negara oleh wanita warga Malaysia dan bapa bukan warganegara secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia.

“Inilah masanya untuk menerima mereka dan menerapkan semangat Malaysia dalam diri mereka, bukannya menolak dan menghalau mereka. Dasar seperti ini adalah tidak betul,” titah baginda, lapor Malaysiakini.

Pada 9 September lalu, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman yang dikemukakan enam wanita warga Malaysia dan kumpulan hak asasi Family Frontiers.