Panas! Terdedah audio pemimpin Pas susah hati dengan pendirian Hadi Awang
Tular satu klip audio yang didakwa berkaitan pemimpin PAS menyuarakan kerisauannya terhadap kepimpinan presiden parti Abdul Hadi Awang.
Audio yang tular di media sosial semalam itu berdurasi satu minit 52 saat didedahkan seorang pemilik akaun Facebook.
Akaun media sosial itu mendakwa pemimpin PAS berkenaan sebagai “Dr T” yang dikaitkan dengan seorang ahli jawatankuasa pusat parti itu.
Menurut rakaman audio berkenaan, Dr T berkata Abdul Hadi percaya Perikatan Nasional (PN) lebih berpengaruh berbanding BN.
“Tok Guru (Abdul Hadi) ini berpegang pada pandangan ‘survey’ yang menunjukkan PN naik, BN turun.
“Tetapi, dia kata, kita kena raikan juga, Umno masih ada akar umbi.
“Ayat itu Tok Guru ulang selalu ulang pada ungkapan, tetapi pada praktikalnya, tidak ditunjukkan. Jadi, kita susah hati,” kata suara Dr T dalam rakaman berkenaan.
Malaysiakini belum lagi dapat mengesahkan secara bebas kesahihan klip audio itu dan sedang mendapatkan maklum balas daripada pemimpin yang dirujuk sebagai Dr T itu.
Pun begitu pemilik akaun Facebook itu juga mendakwa pendedahannya itu merupakan siri kedua kerja terkutuk Dr T yang hendak “sailang” presiden PAS.
Dakwanya lagi, dia akan terus membongkar rancangan jahat pemimpin PAS yang digelar Dr T itu.
Sebelum ini, PAS membentuk kerjasama dengan Umno yang dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN) namun pakatan itu kini dilihat semakin goyah.
Hubungan kedua-dua parti itu dikatakan mempunyai masalah apabila Umno menarik sokongan terhadap Bersatu dalam PN, manakala PAS kekal menyokong Bersatu.
PAS bersama BN, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain, sebelum ini membentuk kerajaan PN bagi menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Dalam pada itu, suara dikatakan Dr T dalam klip audio itu juga berkata pendirian Abdul Hadi yang sentiasa berubah membuatkan para pemimpin PAS sentiasa susah hati.
“Sebab itu ana (saya) baru ini panggil Tok Guru pergi ke Kenyir, kumpulan ana… sengaja paksa Tok Guru dengar taklimat kita bagi.
“Ini kerusi PAS, ini kerusi Umno, ini kerusi Bersatu, nak menang syaratnya begini tambah kerusi. Nak menang syaratnya kita dapat 23 kerusi.
“Lepas tu dia kendur balik, berubah sokmo (selalu) Tok Guru,” katanya lagi.