Panas! Tok Mat tempelak cadangan masukkan ADUN PN dalam kerajaan

Panas! Tok Mat tempelak cadangan masukkan ADUN PN dalam kerajaan

 

Tiada keperluan untuk Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu daripada Perikatan Nasional (PN) supaya dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Melaka, kata Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya berpandangan, tiada keperluan mereka (ADUN PN) berada dalam barisan EXCO Melaka.

“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu ‘makan bersama’? Saya mahu tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan,” kata Timbalan Pengerusi BN itu seperti dilapor BH Online.

Beliau juga berkata, di kalangan BN sendiri sudah berlebihan ADUN untuk dipertimbangkan menjadi EXCO, justeru BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu membawa masuk dua ADUN berkenaan sebagai EXCO.

“Jika kita tidak cukup kerusi betullah, tetapi kita sudah berlebihan kerusi, dalam kalangan kita juga sudah berlebih untuk dilantik sebagai EXCO. 

“Jika dibawa kepada kepemimpinan parti saya akan tanya apa keperluannya kerana saya salah seorang pemimpin tertinggi parti, jika saya puas hati dengan jawapannya, itu okay,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dilaporkan berkata, kedudukan dua ADUN baharu daripada PN dalam barisan EXCO masih belum diputuskan lagi.

Beliau berkata, keputusan itu perlu melalui perbincangan bersama pucuk kepimpinan BN dengan mengambil kira senario parti itu yang bertanding secara solo.