Panas! Tok Mat tempelak kerajaan Ismail Sabri tolak usul tergempar banjir

Panas! Tok Mat tempelak kerajaan Ismail Sabri tolak usul tergempar banjir

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan menafikan usul tergempar di Parlimen bagi membahaskan kemaslahatan nasional sebagai tindakan sangat tidak sensitif.

Menerusi hantaran Facebooknya, Mohamad berkata, menafikan usul mendesak dan paling meruncing sebagai tindakan ‘unparliamentary’, serta pengabaian tanggungjawab yang serius.

“Parlimen adalah medan utama untuk semua kemaslahatan negara dan rakyat di bincang dan di didebatkan.

“Ia bukan institusi pegun dan hanya berfungsi mengikut agenda mesyuarat rutin. Ia adalah institusi moral dan demokratik yang paling utama dalam hidup berbangsa dan bernegara,” katanya.

Mohamad berkata, Parlimen mesti menjadi tempat paling penting untuk krisis yang melanda negara dirungkai dan dibincangkan oleh semua wakil rakyat.

Katanya, ia juga menjadi tempat di mana kerajaan seharusnya menjelaskan segala tindakan dalam kuasanya, untuk menangani segala krisis yang timbul.

“Akauntabiliti kerajaan bukan untuk dijelaskan dalam sidang akhbar. Ia mesti dilakukan di Parlimen sesuai dengan status dan peranan Parlimen itu,” katanya, memetik Malaysiapost.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, tiada agenda lebih besar dan utama dari krisis banjir luar biasa yang melanda negara beberapa hari lalu.

“Tiada aturan mesyuarat yang boleh mengatasi kepentingan rakyat kebanyakan yang kehilangan harta benda, nyawa dan memerlukan segala usaha penyelamatan yang segera.

“Tiada siapa yang lebih besar di Parlimen selain rakyat dan kepentingan mereka. Parlimen Malaysia mesti menjadi Parlimen kelas pertama dan bukan menjadi institusi biasa-biasa,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia semakin mundur ke belakang dalam kematangan demokrasi sekiranya kepimpinan Parlimen lebih mengutamakan aturan mesyuarat dari akuantabiliti kerajaan kepada rakyat.

“Parlimen Malaysia sewajarnya lebih baik dari apa yang ada pada waktu ini,” katanya.