Panas! Ulamak Pas desak menteri Pas bersuara lawan judi

Panas! Ulamak Pas desak menteri Pas bersuara lawan judi

Bekas ketua dewan ulama PAS menggesa menteri-menteri kabinet parti itu supaya bersuara menentang pertambahan kekerapan cabutan khas judi nombor ramalan.

Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) PAS Pusat Mahfodz Mohamed berkata, sebagai kerajaan yang berpaksikan Melayu-Islam, sepatutnya cabutan itu dikurangkan dan bukan ditambah.

“Saya berasa tidak senang dengan keputusan kerajaan (naikkan cabutan nombor ramalan), sedangkan kerajaan yang ada ketika ini adalah berpaksikan Melayu-Islam, sepatutnya cabutan ini dikurangkan sedikit demi sedikit, bukan ditambah,’ katanya yang dipetik oleh Free Malaysia Today.

“Walaupun bersama dalam kerajaan kita ada prinsip, tahu tentang halal dan haram, maka menteri PAS pun kena lantang bersuara.

“Pegang portfolio (menteri agama) pun pemimpin tertinggi PAS, jadi kita perlu bersuara, jangan anggap kita sebagai minoriti dalam kerajaan kita tak boleh bersuara,” katanya.

 

Sebelum ini, pentadbiran persekutuan Pakatan Harapan mengurangkan jumlah cabutan khas tahunan dari 22 kepada 11 pada tahun 2019, dan jumlah itu dikurangkan kepada lapan pada tahun 2020. Selain itu terdapat tiga cabutan “biasa” dalam seminggu.

Cabutan khas pertama kali diperkenalkan pada tahun 1999 untuk mengumpulkan dana bagi membantu mangsa virus Nipah.

Namun, pemerintah Perikatan Nasional (PN), yang mengambil alih dari Pakatan Harapan, dilaporkan menaikkan semula jumlah cabutan khas menjadi 22.

PAS adalah anggota kerajaan PN dan juga adalah sebahagian daripada pemerintahan semasa yang diterajui oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakub.

Tambahan cabutan khas itu disahkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada 20 September.

Mengulas lanjut, Mahfodz berkata keputusan kerajaan hari ini memberi dorongan kepada orang awam termasuk umat Islam untuk melakukan maksiat termasuk berjudi.

“Dengan penambahan cabutan judi akan menggalakkan orang untuk melakukan maksiat, orang Melayu Islam pun dikhuatiri terlibat terutama di kawasan pedalaman… dan ini membimbangkan kedudukan majoriti rakyat Islam.

“Kerajaan perlu ingat, kita kerajaan Islam bukan nak keuntungan dunia semata-mata tetapi keuntungan akhirat sekali,” katanya, lapor Malaysiakini.