Panas! Umno acah-acah marah SOP PRN Melaka

Panas! Umno acah-acah marah SOP PRN Melaka

 

Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal diadakan pada 20 November akan datang sukar untuk diterima, kata Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Beliau yang juga setiausaha agung Umno itu berkata, varian Delta dijadikan alasan untuk pelaksanaan SOP di negeri itu meskipun katanya jangkitan varian itu jarang berlaku dalam kalangan individu yang divaksin.

“SOP di Melaka ini kita tak boleh terima, saya sendiri sebagai anggota yang menyokong kerajaan tak boleh terima,” katanya ketika membahaskan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat hari ini, lapor MalaysiaNow.

Beliau merujuk kepada kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang menyatakan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya tidak dibenarkan bermula hari ini.

Khairy berkata, ketetapan itu dibuat di bawah Akta 342.

Katanya kementerian kesihatan gusar banyak majlis politik yang tidak mematuhi SOP sebelum waktu kempen bermula.

Ini kerana SOP PRN di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya terpakai waktu kempen bermula.

Menurut Ahmad, tanggapan definisi aktiviti berkaitan pilihan raya itu terlalu luas.

“Kita hendak buat pilihan raya, tapi sebarang aktiviti mengenai pilihan raya tak boleh dibuat.”

Justeru, beliau menyeru kerajaan menyemak semula ketetapan tersebut bagi membenarkan beberapa perkara antara ceramah kecil-kecilan dan lawatan rumah ke rumah.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Raja Mohamad Sabu dan Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Bharu) turut menyatakan bantahan terhadap SOP pada PRN Melaka.

SPR menetapkan 20 November akan datang untuk menjalankan PRN Melaka selepas DUN Melaka terbubar.

Tempoh berkempen ditetapkan 12 hari bermula 8 November bersamaan dengan hari penamaan calon.