Panas! UMNO bimbang perangai PAS suka main kayu tiga

Panas! UMNO bimbang perangai PAS suka main kayu tiga

 

UMNO melakukan pelbagai usaha dalam mempertahankan gabungan Muakafat Nasional (MN) bersama PAS.

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor, berkata rakyat perlu tahu bahawa MN ditubuhkan ketika Umno tiada kuasa dan ingin mengembalikan pemerintahan Melayu Islam.

“Ia berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) yang tertubuh setelah parti-parti ini menjadi kerajaan dan ikatannya dilihat amat longgar dan terlalu bersifat mengejar kekuasaan dan materialistik.

“Rakyat sedar bahawa penolakan Umno kepada Bersatu pula kerana tidak mahu kita dikaitkan dengan pelompat-pelompat parti yang menjadikan rakyat sebagai kuda tunggangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hariri berkata, Pemuda Umno Kelantan menyambut baik saranan daripada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang menyerahkan kepada 191 Bahagian parti itu di seluruh negara untuk tentukan masa hadapan MN.

Katanya, keputusan itu jelas membuktikan Umno adalah parti yang mendengar suara ahli-ahli.

“Akar umbi inilah yang akan menentukan sama ada MN kekal relevan ataupun sekadar modal retorik sesetengah parti.

“Kita dapat lihat di sini bagaimana Presiden Umno (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) tidak akan membuat keputusan bersendiri. Presiden dan pimpinan tertinggi akan mendengar keputusan majoriti akar umbi yang lebih tepat,” katanya, memetik laporan Malaysiapost.

Dalam masa sama, beliau berharap usaha mengembalikan kekuatan di dalam MN disambut oleh akar umbi PAS yang lain, dan tidak mensia-siakan ukhwan yang terjalin dengan linangan air mata ketika Umno-PAS menandatangani Piagam MN dua tahun yang lalu.

Ini kerana, katanya, Umno bimbang kaedah main banyak ‘kolam’ ini akan memberi mudarat dan ketidakyakinan pengundi kepada parti.

“Main banyak kolam ini adalah kaedah Bersatu sejak dari dulu asalkan mendapat apa yang dihajati. Matlamat tidak menghalalkan cara,” katanya.