Panas! Umno telah buat dosa paling besar kepada rakyat Melaka

Panas! Umno telah buat dosa paling besar kepada rakyat Melaka

 

Kemelut politik yang berlaku di Melaka berpunca daripada perbalahan sesama sendiri Umno dan dianggap sebagai “dosa paling besar” parti itu terhadap rakyat di negeri itu, kata Timbalan Pengerusi Amanah Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab.

Beliau yang juga bekas Exco ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), yakin rakyat Melaka tahu menilai dan akan memberikan sokongan kepada PH.

“Permasalahan yang berlaku ketika ini adalah disebabkan Umno bergaduh sesama Umno dan rakyat mesti menghukum Umno kerana inilah dosa paling besar Umno terhadap rakyat Melaka.

“Dengan dosa tersebut, saya yakin rakyat akan berikan sokongan kepada Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional,” katanya dalam satu program dialog di Astro Awani malam tadi, lapor FMT.

Dalam masa sama, Sofi menegaskan bahawa PH tidak semata-mata bergantung kepada sentimen rakyat Melaka terhadap Umno untuk menang, tetapi keupayaan mereka telah dibuktikan walaupun hanya untuk 22 bulan.

“Saya tahu calon Ketua Menteri dia (Umno) adalah antara ‘dua singa’ itu, letaklah calon mereka dengan calon Ketua Menteri kita (PH). Saya yakin calon kita Adly Zahari (akan dipilih), rakyat tengok gambar pun dah boleh nilaikan,” katanya.

Selasa lepas, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi berhubung pembubaran DUN Melaka penggal ke-14 dan pilihan raya negeri (PRN) perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

Speaker DUN Melaka Ab Rauf Yusoh sebelum itu mengumumkan DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt setelah dipersetujui Yang Dipertua Negeri Mohd Ali Rustam.

DUN Melaka dibubarkan susulan tindakan empat ADUN, iaitu Idris Haron (Umno-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu), dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.