Panas! Ustaz ini kantoi menipu konon graduan USIM, universiti nafikan

Panas! Ustaz ini kantoi menipu konon graduan USIM, universiti nafikan

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menafikan seorang individu bernama ‘Mohd Radhi Idris’ sebagai graduan lulusan Sarjana Muda Fiqh dan Fatwa dengan kepujian daripada universiti berkenaan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan pendakwah, Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli atau Pencetus Ummah (PU) Faiz menerusi laman Facebook mendedahkan individu berkenaan yang merupakan penceramah bebas membuat sijil palsu kononnya graduan daripada USIM.

Menerusi kenyataan media Pusat Komunikasi Strategik USIM pada Isnin, melalui semakan universiti, tiada rekod rasmi yang menunjukkan bahawa individu terbabit pernah mendaftar sebagai pelajar di USIM.

“Bukan saja di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengajian yang dinyatakan tetapi juga mana-mana program pengajian akademik lain yang ditawarkan oleh USIM.

“USIM ingin menegaskan dan mengesahkan bahawa salinan skrol ijazah USIM yang digunakan oleh individu itu merupakan sijil pengijazahan yang tidak pernah dikeluarkan oleh universiti kepada penama dan ia adalah dokumen palsu,” kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, USIM telah membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

“USIM amat menghargai keprihatinan orang ramai yang membuat aduan dan pertanyaan secara rasmi dan tidak rasmi kepada universiti berkaitan status kelayakan akademik individu berkenaan,” katanya, lapor Sinar Harian.