Panas! Zahid kutuk Bersatu, kenapa sukar terima hakikat?

Panas! Zahid kutuk Bersatu, kenapa sukar terima hakikat?

 

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi bahawa Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, selaras keputusan akar umbi pada Perhimpunan Agung Umno 2020 dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Menerusi satu hantaran terbaharu di Facebooknya hari ini, Presiden Umno itu menegaskan ia ketetapan yang telah dimuktamadkan sejak kira-kira tujuh bulan lalu iaitu Mac 2021.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata Bersatu bukan tidak maklum mengenai perkara tersebut, namun menjelang PRN Melaka mengadu domba konon ia keputusan solo Presiden Umno.

“Mengapa PPBM (Bersatu) begitu sukar menerima hakikat bahawa ahli Umno bertegas menolak PPBM?

“Mungkinkah begitu terdesak mahu mempergunakan ahli Umno sekali lagi seperti mereka lakukan pada PRU14? Memperdaya segelintir ahli Umno menyokong PPBM dengan “kempen” PPBM mahu menyelamatkan Umno,” katanya, lapor Malaysiapost.

Ahmad Zahid berkata, setelah apa yang rakyat alami dan saksikan selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, Bersatu masih melakukah lakonan air mata.

“Masih relevankah pujuk rayu ke atas ahli Umno selepas cuba membubarkan dan menghancurkan Umno sejurus berkuasa?

“Justeru, Presiden Umno menghormati keputusan parti dan denyut nadi ahli parti iaitu tiada kerjasama politik dengan PPBM,” katanya lagi.

Semalam Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PN tidak boleh menunggu lama untuk mendapatkan keputusan kerjasama politik daripada Umno untuk menghadapi PRN Melaka.

Muhyiddin berkata, PN yang menggabungkan Bersatu, PAS dan Gerakan bersedia untuk bertanding bersendirian sekiranya Umno dan BN tidak memberi kata putus mengenai perkara itu.