Parti Ibrahim ‘katak’ mahu jadi kuasa ketiga selepas perjanjian PH-kerajaan

Parti Ibrahim ‘katak’ mahu jadi kuasa ketiga selepas perjanjian PH-kerajaan

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan bertindak sebagai pihak yang lantang menegur serta berperanan semak dan imbang secara lebih aktif selepas Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan  Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, parti itu akan meningkatkan daya juang yang lebih kental, cekal dan berani menegur kerajaan Keluarga Malaysia selepas keduanya memeterai (MoU) dwi-partisan baru-baru ini.

Menurut beliau, kerjasama dwi-partisan itu membawa erti bahawa PH dan kerajaan Keluarga Malaysia kini sudah boleh tidur sebilik walaupun berlainan katil.

“Saya mengajak seluruh pimpinan Putra untuk mempertingkatkan daya juang yang lebih kental, cekal dan berani menegur serta bersuara lantang bagi mengisi peranan semak dan imbang.

“Politik Malaysia sekarang sudah tidak ada pembangkang lagi selepas PH memeterai MOU dengan kerajaan Keluarga Malaysia.

“Dalam politik serba kemungkinan boleh berlaku. Baik dan bergaduh sudah lumrah kerana masing-masing berhasrat mencari laba dan untung,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas memberitahu, politik kini sudah lebih kepada untuk keuntungan diri dengan kepentingan rakyat dan negara hanya sekadar retorik semata-mata.

Katanya, cabaran pandemik Covid-19 dan situasi ekonomi negara serta kehidupan rakyat yang semakin tenat menjadi hantaran tanda ikatan kedua belah pihak.

Malaysia Gazette melaporkan beliau memberi peringatan awal kepada kedua-dua pihak iaitu kerajaan Keluarga Malaysia dan PH bahawa Putra akan tampil dengan suara yang lebih lantang.

“Jika Putra lebih lantang menegur dan mengkritik selepas ini, jangan menuduh kami tidak menghormati usaha kerajaan dwi-partisan membasmi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

“Sering kali persepsi buruk akan dilemparkan kepada pihak yang benar walau pun pihak yang benar ini berkata benar.

“Seiring dengan komitmen dan matlamat untuk membasmi Covid-19 dan kepentingan rakyat, maka wajib ada kuasa ketiga yang tidak terikat dengan mana-mana pihak untuk berperanan bukan sahaja memantau, tetapi menegur dan mengkritik,” katanya.

Beliau berkata, Putra akan mengecam dan menyanggah apa sahaja isu yang didapati ada unsur penyelewengan, pembaziran, rasuah, salah guna kuasa serta tidak ada ketelusan dan tidak tanggungjawab berlaku.

“Saya harap rakyat turut memberi dokongan dan sokongan kepada Putra sebagai kuasa ketiga kerana kelangsungan kelantangan perjuangan demi Islam, Melayu pribumi tidak terus tenggelam dalam angan-angan politik Mat Jenin.

“Serta jangan mengambil mudah lagi kepada setiap perkara kerana adakala perlembagaan dilanggar, dasar nasional dipijak-pijak dan pelaksanaan haru biru ibarat kata, indah khabar dari rupa.

“Ingatlah pengajaran sejarah bila pemimpin tidak bersih, tidak bermoral dan mengejar dunia buatlah apa sahaja, rakyat terus derita dan negara akan sengsara,” katanya.

Kata Dr. Ibrahim, kelangsungan perjuangan Putra ialah menegakkan kebenaran, keadilan dan memperkasakan hak semua rakyat mengikut Perlembagaan akan terus digempur tanpa mengira keadaan dan situasi.