Pas acah-acah marah isu judi, elak dimarah pengikut dan penyokong

Pas acah-acah marah isu judi, elak dimarah pengikut dan penyokong

Kelantangan anggota Parlimen PAS di Dewan Rakyat yang dilihat memberi tekanan kepada kerajaan dalam isu jumlah cabutan khas nombor ramalan dijangka tidak akan memberi apa-apa kesan signifikan.

Bahkan, kata Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Muhammad Taqiuddin Cheman, apa yang disuarakan mereka sekadar mahu mengelak daripada dipersalahkan atau dikecam penyokong PAS.

Katanya, PAS sepatutnya menyatakan pendirian mereka dengan jelas kepada menteri berkaitan, dan semasa mesyuarat kabinet pula, memberikan ketegasn serta mendedak ia diputuskan.

“Keputusan mengurangkan cabutan nombor ramalan ini telah pun dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) justeru sepatutnya usaha mengekalkan had itu lebih mudah berbanding diubah semula.

“Justeru tekanan yang ditunjukkan PAS tidak akan memberi kesan dari sudut pelaksanaan sekiranya mereka hanya menggunakan platform sebagai ahli parlimen sahaja.

“PAS sepatutnya menggunakan kedudukan ahli parlimennya sebagai anggota kabinet dan anggota kerajaan untuk mendesak ia dibatalkan,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Boleh jawab dah bantah

Baru-baru ini Kementerian Kewangan mengesahkan kadar kekerapan cabutan khas perjudian dikembalikan kepada 22 kali setahun, selepas ia dikurangkan kerajaan PH menjadi hanya lapan kali pada 2020.

Beberapa pemimpin PAS dilihat menyuarakan bantahan, seperti Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz, dan Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) selain senator yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Khairil Nizam Khirudin.

Bagaimanapun setakat ini belum ada kenyataan dibuat pimpinan tertinggi PAS.

Ahmad Fadhli malah memberi amaran kerajaan bakal berdepan dengan “tentangan lebih hebat” jika keputusan berkenaan tidak ditarik balik. Bagaimanapun timbalan ketua Pemuda PAS itu tidak menjelaskan dengan lebih lanjut bentuk tentangan yang dinyatakannya.

Kata Taqiuddin PAS yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan sudah hilang ‘kompas’ walaupun dalam perkara asas malah lemah dalam langkah mereka membawa dasar parti.

“Usahkan untuk laksanakan sesuatu yang baru, nak pertahankan perkara yang dah sedia baik pun PAS tak mampu.

“Pada saya apa yang mereka tunjukkan itu tak lebih sebagai tindakan mahu mengelak daripada dipersalahkan pengikut masing-masing.

“Nanti semasa muktamar atau ditanya ahli akar umbi, mereka bolehlah menjawab: ‘Kita dah bantah, tapi kuasa sepenuhnya ada pada menteri’.

“Memang ini cara yang selalu mereka gunakan,” katanya.

Untuk rekod pada 28 Sept lalu, Ahmad Fadhli berkata, kerajaan “wajib” untuk membatalkan keizinan yang diberikan kepada syarikat judi untuk mengadakan 22 kali cabutan khas sepanjang tahun ini.

Menurutnya ada banyak cara lain untuk kerajaan menaikkan pendapatan negara dan bukannya dengan menaikkan kekerapan cabutan khas tersebut.

Sementara itu Ketua Pemuda PKR Kelantan Muhd Hafiz Muhd Kasasi berpendapat, kenyataan Ahmad Fadhli itu sekadar retorik politik atas sebab mereka sendiri sebahagian daripada kerajaan yang membenarkan syarikat judi itu melakukan 22 cabutan khas tahun ini.

“Adakah sebarang keputusan kerajaan tidak dibincangkan dalam mesyuarat kabinet?

“Suara PAS sebagai anggota kabinet sepatutnya digunakan untuk mengekalkan keputusan dibuat PH bukannya menaikkan kembali jumlah cabutan.

“Sergahan (Ahmad Fadhli) sekadar mengaburi mata rakyat semata-mata untuk menampakkan mereka kononnya menentang sedangkan sepatutnya tentangan itu perlu dibuat sebelum kerajaan membuat keputusan.

“Ini hanya mainan demi kelangsungan politik PAS,” tegasnya, lapor Malaysiakini.