Pas ajak berkawan, tapi serang Umno umpama lawan

Pas ajak berkawan, tapi serang Umno umpama lawan

JIKA hendak beri pandangan, eloklah dibuat secara berhemah, itu ingatan Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan kepada pimpinan PAS berhubung kerjasama dengan Umno pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau merujuk kenyataan Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik semalam yang menyifatkan Umno kini sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian di sebalik hubungan yang dijalin mereka dalam Muafakat Nasional dulu.

Malah Mokhtar berkata Umno semacam kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi, serta tiada pawang lagi yang mampu merawat Umno selain sebuah kekalahan.

Mengulas mengenainya, Shahril berkata Umno ialah parti sendiri yang akan buat keputusannya sendiri.

Namun katanya tiada halangan untuk parti lain memberi pandangan, tetapi biarlah lebih cermat dan tidak seperti mengajar Umno apa ia boleh buat atau tidak boleh buat.

Menurutnya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan mengambil pandangan yang pelbagai dalam kalangan parti dan membuat ketetapan, namun tidak akan tunduk kepada tekanan parti luar.

“Sebelum sesuatu pilihan raya berlangsung, Ustaz Mokhtar tidak mahu Umno dapat pembahagian kerusi yang memungkinkan ia selepas pilihan raya membentuk kerajaan tanpa parti lain.

“Maka bolehkah beliau juga minta PAS Terengganu dan Kelantan tidak bertanding sejumlah kerusi supaya sebelum masuk gelenggang pun sudah pasti tidak boleh menang majoriti dengan sendiri? Sudah tentu tidak.

“Kerana PAS juga parti politik yang ada cita-cita dan aspirasi. Itu hak PAS. Umno tak pernah halang atau memperlekeh hak dan cita-cita parti lain, malah mengiktirafnya.

“Sebab itulah kami sentiasa kerja kuat dan tak memandang remeh kemampuan parti lain. Jadi amat tidak manis rasanya untuk orang Umno apabila Ustaz Mokhtar pula memperlekeh kemampuan parti kami,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam soal PRN Johor,  Shahril berkata kepimpinan tertinggi Umno di negeri dan Pusat, seperti dinyatakan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam, akan mengkaji dan memuktamadkan sebarang keputusan sama ada bekerjasama dengan parti lain atau tidak.

“Namun, jangan salahkan Umno jika kenyataan seperti Ustaz Mokhtar ini menyempitkan ruang untuk hendak bekerjasama dengan kawan yang menyerang serupa lawan,” katanya.