Pas desak Zahid berehat, fokus kes mahkamah dan jangan sibuk serang Pas

Pas desak Zahid berehat, fokus kes mahkamah dan jangan sibuk serang Pas

PEMUDA PAS menasihati Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi agar mempertimbangkan untuk berehat sementara daripada arena politik sekali gus dapat memberi perhatian terhadap kes mahkamah yang sedang dihadapinya.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Nazir Helmi berkata, ianya merupakan teguran dan peringatan kepada Ahli Parlimen Bagan Datuk itu supaya lebih fokus terhadap pendakwaan kes di mahkamah daripada mengeluarkan keadaan menyerang PAS.

“Pemuda PAS juga ingin menegur dan memberi peringatan kepada Datuk Seri Zahid Hamidi agar mengeluarkan kenyataan dalam keadaan sedar. Adalah lebih baik Datuk Seri memberi fokus yang lebih dalam menguruskan kes mahkamah yang sedang dihadapi.

“Pemuda PAS melihat cadangan untuk berehat seketika yang pernah dibuat dahulu wajar dipertimbangkan semula oleh Datuk Seri Zahid Hamidi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nazir berkata demikian sebagai maklum balas ucapan Zahid dalam satu program Barisan Nasional (BN) minggu lalu yang mendakwa Presiden PAS takut kehilangan 18 kerusi Parlimen sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal.

Mengulas mengenainya, Nazir berkata, kenyataan Zahid itu adalah kenyataan yang kosong dan tidak berasas.

Menurutnya, pemuda PAS memandang bahawa semua pucuk pimpinan parti di Malaysia wajar memberi fokus dalam mengukuhkan kerjasama antara semua pihak serta menjulang prinsip ‘agree to disagree’ dalam mendepani keadaan ekonomi domestik dan global yang masih kurang stabil.

“Maka, pemuda PAS melihat ini lah masa yang terbaik untuk mengukuhkan semula penyatuan ummah.

“Sebagai presiden Umno, pemuda PAS menasihatkan Datuk Seri agar mencontohi PAS yang memberi keyakinan kepada Datuk Seri Ismail Sabri dan barisan Kabinet dalam mengemudi negara dalam keadaan penuh ketidakstabilan ini,” katanya, seperti dilapor Malaysiapost.