Pas kata kekal dengan MN walau bertanding logo PN

Pas kata kekal dengan MN walau bertanding logo PN

 

KERJASAMA antara PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) masih kekal seperti yang telah dimeteraikan dalam Piagam Muafakat, tegas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Menurutnya, walaupun PAS Pusat pusat memutuskan mengenai penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, tidaklah menafikan malah tidak pula memutuskan hubungan dalam MN.

Beliau berkata, kesepakatan antara PAS dan Umno adalah demi memelihara perpaduan umat Islam sekali gus untuk memastikan umat Islam tidak retak dan belah bagi mendepani apa jua cabaran semasa ke atas umat Islam.

“Ia merentasi kepentingan sempadan parti politik, sebaliknya menjadi natijah cita-cita umat Islam keseluruhannya bagi melihat umat Islam agar tidak lagi bermusuhan semata-mata kerana berbeza warna bendera dan parti politik yang disertai.

“Keputusan PAS menggunakan logo PN dalam PRN Melaka yang dibuat dalam Mesyuarat PAS Pusat semalam tidaklah menafikan malah tidak pula memutuskan hubungan dalam MN,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Nasrudin berkata, penggunaan logo PN di dalam PRN Melaka adalah merupakan satu langkah ijtihad politik semasa PAS bagi menghadapi PH dan merencana agar Melaka tidak jatuh ke tangan PH.

“Umno yang akan bertanding atas logo Barisan Nasional (BN) akan membawa bersama kekuatan MCA dan MIC, sementara PAS yang memilih untuk bertanding atas logo PN pula bergandingan bersama Bersatu bagi menghalang kemaraan PH.

“Meskipun umum telah mengetahui bahawa Umno masih tidak boleh menerima Bersatu, demikian juga sebaliknya. Namun ‘gelang kerjasama’ boleh dijalin menerusi MN yang akan merangkumi BN dan PN,” katanya.

Beliau berkata pakatan boleh diurus dengan mengekalkan semangat kerjasama bagi memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru dalam PRN Melaka.

“Pembahagian kerusi secara pintar mesti dilakukan dengan harmoni antara BN dan PN agar menjadi satu pasukan kuat mendepani PH.

“MN mesti terus kekal utuh justeru masih terlalu banyak cabaran mendatang menanti umat Islam yang pastinya memerlukan umat Islam kekal bersatu dan kuat,” katanya.

Nasrudin berkata, PN juga berperanan mengisi ruang yang perlu bagi menyempurnakan kekuatan umat Islam dan terus membina dominasi dalam segenap aspek yang membawa kebaikan kepada ummah.

“Memperkasa MN, mempertahan PN,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.