Pas kata konsisten menentang judi, tapi ‘menikus’ dalam kabinet

Pas kata konsisten menentang judi, tapi ‘menikus’ dalam kabinet

PAS konsisten menentang kegiatan judi termasuk kebenaran peningkatan cabutan khas nombor ramalan yang diumumkan Kementerian Kewangan tempoh hari.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, cabutan khas itu dilihat bukan satu-satunya jalan penyelesaian terbaik dalam menstabilkan ekonomi negara sebaliknya ia akan menjauhkan negara daripada memperolehi keberkatan Allah SWT.

“Hal ini juga boleh dilihat dengan jelas melalui kesan-kesan negatif judi terhadap sosioekonomi masyarakat yang hanya mendatangkan lebih banyak mudarat berbanding manfaat terhadap negara dan juga rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Harakah.

Menurutnya, antara solusi yang PAS kemukakan bagi menstabilkan ekonomi adalah menerusi Dokumen Hijau yang menjadi subset bagi Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS 2051).

Jelas beliau, dokumen itu menggariskan gagasan PAS dalam menyelesaikan permasalahan ekonomi negara dengan berdasarkan prinsip-prinsip ekonomi Islam yang boleh digunapakai pada setiap masa dalam apa jua keadaan.

Beliau berkata, atas keprihatinan sebagai sebahagian parti komponen dalam kerajaan, PAS menggesa pihak kerajaan, melalui Kementerian Kewangan agar menarik kembali kebenaran cabutan khas judi tersebut.

“Bahkan bukan isu judi sahaja malah segala jenis industri dosa seperti industri arak, penyalahgunaan dadah, pelacuran dan pemerdagangan manusia juga perlu dibanteras dengan segera kerana kegiatan ini jelas ditegah oleh agama serta menyumbang kepada keruntuhan institusi keluarga, masyarakat dan negara.

“Dalam situasi dunia masih diuji dengan wabak pandemik Covid-19 janganlah kita mengundang kemurkaan Allah SWT dan bertakwalah kerana itu akan hampir dengan pertolongan Allah SWT,” katanya lagi.

Beliau turut memetik ayat 96, Surah Al-A’raf yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan”.