Pas kata Zahid ahli sihir sekejap sihat sekejap uzur

Pas kata Zahid ahli sihir sekejap sihat sekejap uzur

Tidak senang dengan gelaran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai ahli zoologi, Dewan Pemuda parti itu membidas Presiden UMNO.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ahli sihir kerana kerap uzur untuk menghadiri prosiding mahkamah tetapi selepas itu kembali sihat.

“Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa? Ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah kemudiannya sihat sejahtera memikul beras?

“Atau Datuk Seri sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas?

“Hairan saya, kenapa ada lagi yang mempercayai ucapan Datuk Seri yang terang-terang hanya memperbudakkan pendengar?

“Sebenarnya, yang dikehendaki sangat ialah tandatangan di atas sekeping watikah sahaja. Itu pun tiada harga jika Datuk Seri berpindah mukim ‘ke dalam’,” bidas Ahli Parlimen Pasir Mas itu dalam hantaran di Facebook.

Bagaimanapun, Ketua Pemuda Perikatan Nasional itu tidak menyebut nama Ahmad Zahid secara langsung namun berkias dengan menggunakan metafora ‘Datuk Seri’.

Ahmad Zahid dalam ucapan pelancaran jentera BN di Iskandar Puteri, Johor sebelum ini berkata, mereka bukanlah haiwan seperti yang disebutkan Abdul Hadi.

“Saya mengikuti banyak wawancara dan banyak ucapan pemimpin itu. Banyak kiasan yang berkaitan dengan haiwan (digunakan).

“Saya fikir eloklah dia tukar profesion daripada ahli politik kepada ahli zoologi,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bagi membidas kenyataan Abdul Hadi pada 28 Januari lalu yang menyifatkan UMNO seperti ‘itik yang patah kaki’ kini cuba ‘berenang’ sendiri selepas pulih dengan bantuan Pas.