Pas lancar ‘tabung tin milo’ untuk hadapi PRN Melaka

Pas lancar ‘tabung tin milo’ untuk hadapi PRN Melaka

 

Ahli-ahli dan para penyokong PAS dimohon untuk menyumbang kepada Tabung Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka PAS Pusat.

Penamaan calon PRN Melaka pada 8 November sementara hari pengundian adalah pada 20 November.

Bendahari PAS Pusat, Dato’ Iskandar Abd Samad berkata, terdapat 28 kerusi Dewan Undangan Negeri dan PAS telah memutuskan untuk meletakkan calon-calon di kerusi yang tidak ditandingi Umno dan Bersatu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 2018, PAS telah bertanding di 24 kerusi Dun.

Katanya, memandangkan usaha-usaha untuk memastikan tidak berlaku pertandingan tiga penjuru yang akan menguntungkan Pakatan Harapan, maka bilangan kerusi DUN yang ditandingi PAS kali ini tidak sebanyak pada PRU 2018.

Beliau berkata, bagaimanapun, jumlah dana pilihan raya yang diperlukan tetap tinggi memandangkan PRN ini akan menjadi tumpuan seluruh negara.

Katanya, ini bermakna perhatian akan diberikan kepada PRN dan lebih banyak isu-isu akan dibangkitkan.

Justeru itu, tegas beliau PAS perlu mempertingkatkan gerak kerja terutamanya di dalam kempen-kempen penerangan yang sudah tentu akan melibatkan kos yang lebih tinggi.

Selain itu, katanya, PAS menyertai PRN kali ini sebagai sebuah parti yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Persekutuan, maka sudah tentu harapan rakyat terhadap PAS adalah berbeza ketika PAS sebagai parti pembangkang.

“Ia sudah tentu memerlukan pendekatan yang berbeza dan kos menyertai pilihan raya sudah tentu juga berbeza,” katanya.

Menurut beliau, PRN Melaka sudah tentu akan mengambil iktibar daripada PRN Sabah, dengan itu SOP yang baharu dan lebih ketat pasti akan dikuatkuasakan.

Katanya, maka kempen kali ini adalah berbeza daripada pilihan raya-pilihan raya sebelum ini.

“Kemungkinan besar media sosial akan memainkan peranan yang penting pada PRN ini dan sudah tentu ia akan melibatkan kos tambahan.

“PAS perlu bersedia dengan sebarang kos tambahan akibat SOP tersebut,” katanya seperti dilaporkan Harakah Daily.

Justeru, beliau berharap, ahli-ahli dan penyokong-penyokong dapat menyumbang ke dalam akaun-akaun berikut.

BANK ISLAM – 1402 301000 0885 – Parti Islam Se-Malaysia (PAS)
MAYBANK – 5640 7061 2349 – Tabung Dana Pilihan Raya
CIMB – 8600 01 3600 – Tabung Dan Pilihan Raya

Para penyumbang diharap dapat memaklumkan kepada Setiausaha Eksekutif PAS Pusat di talian 019 272 5604 selepas menyumbang.

“Segala sumbangan akan dimanfaatkan untuk PRN dan sebarang lebihan untuk gerak kerja parti.

“Semoga Allah SWT memberikan ganjaran kepada para penyumbang dan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih,” katanya.