Pas tak boleh kahwin dua serentak, tegas Ridhuan Tee
KAHWIN satu dulu, bila dah aman, baru kahwin dua. Satu pun masih berantakan, nak kahwin dua macam mana?
Itulah analogi yang paling sesuai melihat kepada keputusan Muzakarah Majlis Syura Ulama bersetuju untuk menegaskan kepentingan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.
Persetujuan itu dicapai Majlis Syura Ulama yang bersidang semalam (29 Disember) bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan raya PAS Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)’.
Menurut ulama PAS, perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimumnya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.
Situasi yang mesti difahami, UMNO dan PPBM, tidak boleh bersemuka, buat masa ini. Itulah realiti politik yang mesti diketahui PAS.
Buat masa ini, bagi menghadapi PRU15, PAS mesti pilih salah satu. Pilihan terbaik adalah UMNO, buat masa ini.
Sesudah berjaya nanti, barulah fikir untuk kahwin satu lagi.
Kahwin dua secara serentak ini hodoh sangat bunyi. Jarang orang bermadu kahwin secara serentak, kecuali isteri pertama membenarkan.
PAS boleh bawa apa jua hujah, termasuk Surah al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah bertelingkah lalu kamu gagal dan hilanglah kekuatan kamu. Dan bersabarlah kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”
Kata ulamak PAS, semangat ta’awun siyasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan. Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak daripada menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian.
Cakap memang sedap. Realiti politik tidak sedemikian.
Masalah perkara tersebut tidak berlaku antara UMNO dan PPBM. UMNO sudah nekad tidak mahu bersama PPBM. Titik. Muktamad. Tidak ada rundingan lagi. Inilah realiti politiknya.
Pertembungan lebih tiga penjuru pasti akan berlaku dalam PRU15, jika PAS masih degil untuk berkahwin dua secara serentak.
Jangan sampai pertembungan ini membawa kepada kemenangan ultra kiasu. Takut nanti formula kahwin dua tidak mendatangkan barakah.
Memang sedap membawa ayat al-Quran, seperti dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan rahmat daripada Allah kamu bersikap lunak terhadap mereka. Dan jika kamu bersikap kasar, keras hati pasti mereka bertempiaran lari dari keliling kamu maka maafkanlah mereka, mohonlah keampunan Allah buat mereka dan berunding serta bermusyawarah dengan mereka dalam urusan tersebut. Seterusnya apabila kamu telah bertekad maka bertawakkal berserah dirilah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah suka orang-orang yang sentiasa bertawakkal menyerah diri (kepada Allah)”.
Saya tidak nafikan semua ayat al-Quran yang dipetik oleh ulama PAS. Tetapi fahamilah realiti politik. Hakikatnya tidak sedemikian. Analogi yang sama, walaupun dinafikan kerana situasi berbeza, jika UMNO tidak dapat menerima PPBM, sama seperti PAS tidak dapat menerima PAN.
PAS perlu kepada penasihat dan penganalisis politik yang benar-benar memahami realiti politik sebelum menyesal kemudian hari.
Tanpa PAS, pastinya PPBM akan goyang. Ketika itu, tidak mustahil PPBM akan mencari dahan berpaut. Tidak dinafikan, PAS amat terhutang budi kepada PPBM, terutama ketika Presiden PPBM menjadi Perdana Menteri.
Tetapi dalam politik kena fahami satu formula, kill or be killed. Kadang kala kita tidak ada pilihan mesti pun nampak macam ada pilihan
Maaf, saya bukan mahu melukai sahabat-sahabat dalam PPBM, termasuk PAS, kerana saya tidak sependapat dengan ulama mereka, tetapi itulah hakikat yang perlu difahami.
PRU15 adalah pertembungan antara ‘perjuangan hidup mati’. Sama ada negara ini akan jatuh kepada ultra kiasu atau tidak.
Saya syorkan, eloklah para ulama PAS membuat istikarah sekali lagi, moga keputusannya benar-benar memahami realiti politik semasa.
Formula saya, kahwin satu dulu, bila dah aman, barulah kahwin dua.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah