Pas tak mengaku lantikan bertaraf menteri adalah sogokan

Pas tak mengaku lantikan bertaraf menteri adalah sogokan

Kenyataan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan lantikan jawatan bertaraf menteri sebagi satu sogokan dianggap tidak tepat.

Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Nuridah Salleh berkata, pada era pemerintahan Dr Mahathir pun beliau sendiri pernah menawarkan individu dengan jawatan bertaraf menteri.

Katanya jawatan yang ditawar itu kepada individu yang layak dan berpengalaman.

“Bekas perdana menteri terbabit tidak wajar membuat tanggapan secara umum kerana setiap jawatan yang diwujudkan kerajaan ada peranannya yang tersendiri,” katanya ketika dihubungi Harakah, hari ini.

Baru-baru ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang dilapor berkata, langkah kerajaan melantik ahli politik bagi mengisi jawatan bertaraf menteri dianggap pembaziran.

Menurutnya, peruntukan dibayar kepada mereka sepatutnya disalurkan untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini melantik jawatan bertaraf menteri antaranya Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah.

Selain itu, Dato’ Seri Tiong King Sing (Duta Khas ke China) dan Dato’ Seri Richard Riot (Duta Khas ke Asia Timur).

Manakala bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri sesuai. Beliau juga tidak mengambil sebarang imbuhan dan berkhidmat sebagai sukarela.

Nuridah juga berkata, setiap pelantikan itu berdasar kepada pengalaman tokoh-tokoh terbabit sebelum ini termasuk Muhyiddin berjaya menerajui strategi pemulihan negara akibat Covid-19 sebelum ini.

Malah katanya, rakyat juga tidak akan menyokong langkah yang boleh membawa pembaziran wang negara, namun tugas tokoh-tokoh terbabit bukan mudah bagi merapatkan hubungan dengan negara-negara luar.