PAS tak putus harapan, masih menagih cinta daripada UMNO

PAS tak putus harapan, masih menagih cinta daripada UMNO

PAS bersedia bertembung dengan UMNO sekiranya kedua-dua parti itu gagal mencapai kata sepakat untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Mat berkata, hakikatnya parti itu bersifat terbuka dan lebih suka mencari jalan penyelesaian ke arah kebaikan bersama dan penyatuan ummah.

Bagaimanapun, katanya, tindakan UMNO yang sering mengisytiharkan bahawa parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu mahu bertanding solo, menyebabkan bayangan masa depan kerjasama kedua-duanya samar.

“Kalau dia (UMNO) lawan kita, kita (PAS) lawanlah dia, PAS ini secara terbuka kita lebih suka untuk mencari jalan ke arah kebaikan bersama, penyatuan ummah tapi UMNO duk (asyik) isytihar nak lawan solo, kita tengoklah macam mana.

“Kita tengok dalam mangkuk air ini belum nampak lagi dia punya (keputusan kerjasama) tu, tapi insyaAllah ada cahaya di hujung terowong,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman sidang media dimuat naik di Facebook, selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 Tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda, Sungai Petani hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu meminta penjelasan daripada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang minggu depan susulan dakwaan pertemuan pemimpin itu dengan Ahmad Zahid, bagi menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN), Tuan Ibrahim berkata, perkara itu sememangnya akan dilapor ketika mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan berkenaan.

“Sebenarnya apa-apa yang kita bincang dengan rakan mana-mana parti politik (gabungan) kita, kita akan lapor dalam Majlis Pimpinan PN, macam Barisan Nasional (BN) juga, mesyuarat dia akan lapor dalam Dewan Tertinggi BN walaupun UMNO yang bincang.

“Dari situ, kita akan dapat pandangan daripada parti komponen dan kita akan buat keputusan bersama, jadi tak timbul soal kita membelakangkan, tak beritahu, tak timbullah sebab semua akan dilaporkan,” katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Muhyiddin yang mengisytiharkan bahawa BN adalah musuh PN, Tuan Ibrahim sukar membeli maklum balas.

“Saya tak tahulah UMNO ini musuh ke tidak, kita tak nak lawan menang jadi abu, kalah jadi arang, dua-dua tak ada manfaat,” katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, politik bukan hanya untuk bertanding, tetapi strategi menang dan apa matlamat sebenar sesebuah parti memasuki pilihan raya.

“Oleh kerana itu dalam bab ini, saya fikir kita dalam konteks kerajaan, hatta kerajaan Persekutuan, banyak parti mendukung kerajaan sekarang, PAS ada, UMNO ada, BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) ada, semua ada, kita berjalan dengan baik.

“Sama dengan Kedah, walaupun pelbagai parti di Kedah tapi dalam bab kerja masing-masing kita buat kerja dengan bidang masing-masing dan alhamdulillah, kita tengok hubungan baik, tak ada masalah dan kita harapkan untuk pilihan raya ini pun, kita akan duduk bincang, ambil jalan terbaik,” tegasnya.