PAS tetap dengan pendirian tolak saranan Agong, mahu jadi pembangkang

PAS tetap dengan pendirian tolak saranan Agong, mahu jadi pembangkang

AS menegaskan parti itu tidak akan menyertai kerajaan Persekutuan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pendirian itu diambil selepas membuat pertimbangan dari pelbagai sudut dan meneliti pendapat umum.

“PAS berpendirian tidak akan menyertai kerajaan Persekutuan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

“(Ia) demi menghormati kepercayaan dan mandat majoriti rakyat, khususnya pengundi yang memilih PAS dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Takiyuddin berkata, PAS akan terus berperanan sebagai pembangkang yang konstruktif.

Takiyuddin Hassan

Beliau menegaskan, sebagai pembangkang, parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu akan menasihati semua pihak bagi memastikan tadbir urus negara berjalan lancar.

Jelasnya, ia bagi memastikan tadbir urus negara dapat ditegakkan berpaksikan kepada prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

Semalam, Getaran melaporkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, gabungan itu yang turut disertai PAS kekal dengan pendirian untuk tidak menyertai Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Beliau berkata, PN menolak tawaran terbabit atas semangat untuk menyuburkan demokrasi serta melaksanakan peranan semak dan imbang yang berkesan di Parlimen.

Namun, Muhyiddin berterima kasih kepada Anwar atas tawaran tersebut.

“PN akan memainkan peranan sebagai pembangkang berwibawa untuk membawa suara rakyat ke Parlimen, selain memastikan tadbir urus kerajaan yang berintegriti serta bebas rasuah selaras dengan prinsip Prihatin, Bersih dan Stabil.

“Demi untuk memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, PN bersedia merintis bentuk kerjasama lain dengan kerajaan dalam ruang lingkup hubungan antara kerajaan dan pembangkang,” katanya.