Passport ‘penjenayah’ diserah, kepercayaan terhadap sistem kehakiman terhakis

Passport ‘penjenayah’ diserah, kepercayaan terhadap sistem kehakiman terhakis

 

Perkembangan terbaru melibatkan kes berprofil tinggi yang menjadi perhatian umum dilihat mula tercemar dengan pemulangan sementara passport mereka meskipun masih berdepan dengan perbicaraan pelbagai tuduhan jenayah di mahkamah.

Ini termasuklah kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Razak, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Presiden Umno, Datuk Seri Zahid Hamidi dan terbaru adalah Peguam Muhammad Shafee Abdullah.

Sama ada ia kebetulan atau tidak, penyerahan semula passport ini berlaku selepas Perdana Menteri bertukar daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Dato’ Seri Ismail Sabri. Adakah ini satu lagi campur tangan eksekutif ke atas hal melibatkan kehakiman?

Pemuda AMANAH berpandangan meskipun perkara ini sesuatu yang dibenarkan dan di bawah kuasa mahkamah namun ia bakal menghakis kepercayaan awam terhadap ketegasan dalam menangani kes jenayah di kalangan orang-orang kenamaan.

Rata-rata akan melihat bahawa tindakan ini dibenarkan atas kapasiti mereka sebagai orang kenamaan dan bukan atas urusan yang begitu penting sehingga perlu diserahkan passport mereka.

Melihat kepada alasan-alasan yang diberikan, semuanya bersifat peribadi dan tidaklah begitu terdesak berbanding dengan risiko yang mungkin boleh berlaku sepanjang ketiadaan mereka dalam negara.

Selain itu, awam akan melihat bahawa meskipun dituduh dengan kes jenayah yang berat dan diminta untuk diserah passport mereka pada awalnya tetapi perkara tersebut tidaklah menjadi satu masalah kepada golongan kenamaan berbanding mereka yang tidak mempunyai kemampuan berbuat demikian.

Ramai yang bertanya adakah kesalahan tidak melunaskan hutang PTPTN itu lebih berbahaya berbanding mereka yang telah dituduh dengan kes jenayah, pecah amanah dan seleweng dana awam?

Justeru, Pemuda AMANAH mendesak supaya keputusan menyerahkan passport kepada individu berprofil tinggi tersebut disemak semula dan Pejabat Peguam Negara harus bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan mereka yang tertuduh tersebut berada dalam negara sehingga kes mereka selesai dan dilayan sama seperti pesalah jenayah lain.

RAZAK RIDZUAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH