Pegang RFID dengan tangan untuk bayar tol, boleh tak?

Pegang RFID dengan tangan untuk bayar tol, boleh tak?

Semua lebuhraya di Semenanjung Malaysia termasuk Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) telah sedia menerima RFID untuk pembayaran tol, bermula 15 Januari 2022. Tidak seperti kad Touch n Go dan SmartTAG, setiap tag RFID adalah unik pada setiap kenderaan dan tidak boleh dipindahkan.

Mungkin ada di kalangan orang ramai yang berfikir, bolehkah tidak melekat tag RFID pada kereta dan memegangnya dengan tangan, semasa pandu lalu di laluan RFID untuk membayar tol?

 

aru-baru ini, ada pengguna di TikTok yang mencuba cara ini di plaza tol lebuhraya dan berjaya melakukannya. Kemudian dia cuba melekatkan plastik yang memegang tag RFID itu di cermin hadapan kerana penat memegangnya, dan ia juga berjaya. Tag RFID perlu ditampal di bahagian penumpang, menjadikannya lebih sukar memegang, berbanding peranti SmartTAG yang boleh digunakan di sebelah pemandu.

Dari video tersebut, jelas kelihatan bahawa memegang RFID dengan tangan bukan sahaja leceh tetapi sangat merbahaya. Adalah lebih baik melekatkannya di cermin untuk perjalanan yang lebih lancar dan selamat untuk pengguna jalanraya.

Pesanan PLUS

PLUS telah memuat naik poster tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dengan RFID. Antaranya ialah tidak boleh memegang tag RFID dengan tangan semasa melalui laluan RFID. Ia dilarang sama sekali dan tag RFID anda boleh disenarai hitam. Pengguna juga diingatkan bahawa tag RFID tidak boleh dipindah milik dan digunakan pada kenderaan lain yang tidak didaftarkan pada sistem RFID.

Tag RFID perlu ditampal sama ada di cermin hadapan atau lampu hadapan, dan ikuti cara-cara pemasangan yang disediakan jika anda membeli kit pemasangan sendiri RFID. Tag ini juga perlu dipasang jauh dari permukaan besi dan bahagian cermin gelap.

Dengan pengenalan Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) di lebuhraya PLUS, kenderaan perlu menggunakan nombor pendaftaran yang mematuhi spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). ANPR akan digunakan pihak lebuhraya PLUS sebagai lapisan kedua pengesahan untuk membantu menyelesaikan sebarang pertikaian pembayaran tol, kerana ia menangkap gambar kenderaan ketika ia masuk ke lebuhraya. Nombor pendaftaran beragam, serta huruf atau nombor yang hilang dan rosak boleh mengurangkan keberkesanan ANPR.

Walaupun laluan RFID membolehkan pandu lalu lebih pantas (30km/j) berbanding laluan SmartTAG (20km/j), pengguna lebuhraya dinasihatkan untuk berhati-hati apabila memasuki laluan kerana masih ada palang buat masa ini. Palang untuk laluan RFID akan dibuang apabila Malaysia berubah ke Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti Laluan Tunggal (SLFF).

Bermula 15 Januari 2022, semua plaza tol di lebuhraya PLUS dari Juru, Pulau Pinang sehingga ke Skudai, Johor akan menyediakan sekurang-kurangnya satu laluan khas RFID. Jika anda belum bersedia bertukar ke RFID, laluan Touch n Go dan SmartTAG masih disediakan. Kerajaan mensasarkan untuk berhenti menggunakan Touch n Go dan SmartTAG secara berperingkat pada penghujung 2023 dan laluan sedia ada akan diubah kepada RFID mengikut fasa dan keperluan.

Jika anda mahu memasang RFID, tag RFID dijual pada harga RM35. Anda boleh membeli kit pemasangan sendiri DIY dalam talian atau menerusi aplikasi Touch n Go eWallet. Kalau anda mahu pakar memasangnya, anda boleh kunjungi mana-mana cawangan berdaftar pusat pemasangan RFID.

RFID adalah langkah pertama Malaysia menuju Sistem Kutipan Tol Tanpa Henti Berbilang Laluan (MLFF), di mana tiada lagi laluan khas dan palang diletakkan untuk pembayaran tol. Bagi perjalanan lebih lancar, RFID dihubungkan kepada Touch n Go eWallet di mana ia lebih mudah ditambah nilai berbanding kad fizikal. Selain itu, pengguna juga boleh menetapkan tambah nilai automatik di mana ia akan dicas terus daripada kad debit atau kredit yang disimpan. Kerajaan mensasarkan untuk melaksanakan MLFF pada penghujung 2026.