Pegawai polis panik kene serbu, nekad telan ‘cash’ RM556

Pegawai polis panik kene serbu, nekad telan ‘cash’ RM556

 

Seorang polis Colombia yang korup terpaksa dimasukkan ke hospital selepas menelan segumpal wang kertas bernilai 500,000 peso (kira-kira RM556) hasil daripada memeras ugut seorang ahli perniagaan.

Pegawai polis itu dilaporkan telah menekan mangsanya untuk mendapatkan wang sebagai pertukaran kerana tidak menangkapnya atas tuduhan yang dibuat-buat, lapor akhbar The Guardian.

Bagaimanapun, anggota polis itu tidak mengetahui bahawa ahli perniagaan tersebut telah memaklumkan kepada Unit Antipenculikan dan Peras Ugut Colombia terlebih dahulu sebelum berjumpa dengan polis berkenaan di Sachoa.

Ketika pegawai pencegah rasuah tiba, polis itu nekad menelan sembilan keping wang kertas tersebut dengan harapan dapat menghapuskan bukti.

Dia bagaimanapun terpaksa dikejarkan ke unit kecemasan selepas tercekik wang tersebut.

Video yang disiarkan di The Guardian memaparkan polis tersebut mengaku tidak bersalah sambil tercungap-cungap dalam sebuah van polis.

“Saya tidak menerima apa-apa, sama sekali tidak ada, saya tidak tahu apa yang mereka bicarakan,” ujar polis itu sambil sesak nafas.

Seorang pegawai pencegah rasuah berkata bahawa polis itu terpaksa dibawa ke hospital bagi mengeluarkan wang tersebut dari perutnya.

Pengarah pejabat peguam tempatan memaklumkan kepada media tempatan bahawa wang kertas itu diperbuat daripada bahan yang keras dan tidak mudah untuk dihadam.

Ahli perniagaan tersebut memberitahu The Guardian bahawa dua pegawai polis tersebut telah menuduhnya melakukan jenayah seksual untuk mendesaknya menyerahkan dua juta peso.

Walau bagaimanapun, dia hanya mampu mengumpul separuh daripada jumlah itu dan diheret ke balai polis kerana polis tersebut mengharapkan dengan berbuat demikian, mereka akan dapat jumlah penuh seperti yang diminta.

Kedua-dua pegawai tersebut dilaporkan sedang dalam siasatan.