Pegawai SPRM curi RM25 juta, Hasanah kunci mulut

Pegawai SPRM curi RM25 juta, Hasanah kunci mulut

Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid enggan memberikan sebarang komen mengenai keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan ke atas seorang penguasa kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.

Perkara itu disahkan oleh peguam mewakili Hasanah, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Jumaat.

“Anak guam saya (Hasanah) enggan memberi komen lanjut mengenai keputusan kes hari ini,” kata Mohd Khairul Azam.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin mengenakan hukuman itu terhadap Shahrum Nizam Baharuddin, 41, selepas tertuduh mengaku salah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan curangnya menjadikan bagi kegunaan sendiri suatu harta iaitu wang berjumlah AS$6.94 juta (RM25 juta).

Tertuduh menyalahgunakan wang rampasan SPRM berjumlah AS$6.94 juta itu dengan membeli pelbagai aset antaranya rumah, tanah, kereta mewah dan motosikal berkuasa tinggi.

Suzana memerintahkan Shahrum Nizam dipenjarakan bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 13 September 2021.

Hakim juga mengarahkan harta yang dibeli dengan wang rampasan iaitu seutas jam tangan Hublot; sebuah kenderaan pacuan empat roda jenama Ford Raptor; sebuah kereta Honda Civic; sebuah kereta jenama Mercedes; dua motosikal berkuasa tinggi jenama Ducati; sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan Sepang; dua bidang tanah di Jerantut; dan wang tunai RM8,700, wang tunai AS$4.07 juta dan RM1.6 juta dilucut hak kepada kerajaan Malaysia melalui SPRM.

Semasa menjatuhkan hukuman, Suzana berkata, mahkamah menerima pengakuan salah tertuduh yang turut mengakui fakta kes yang dibacakan terhadapnya.

“Mahkamah dapati kamu lakukan kesalahan dan dengan itu kamu disabitkan dengan tuduhan. Mahkamah ambil kira rayuan peguam bela dan hujahan timbalan pendakwa raya dan berharap hukuman ini dapat memberikan pengajaran kepada kamu dan mengelakkan daripada mengulangi kesalahan sama pada masa depan.

“Dengan itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bermula dari tarikh tangkap dan dua sebatan,” katanya.

Shahrum Nizam didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ketua Cawangan Tindakan Khas (CTK), Bahagian Siasatan, Aras 14, Blok C, Ibu Pejabat SPRM, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 17 Disember 2018 dan 9 April 2019.

SIMPAN DALAM PETI BESI

Dalam pada itu, Ahmad Akram yang membacakan fakta kes berkata, wang rampasan itu diserahkan oleh pegawai penyiasat kepada Ketua Cawangan, Cawangan Tindakan Khas (KC CTK) untuk disimpan dalam peti besi.

Beliau berkata, pada 17 Disember 2018, Shahrum Nizam meminta KC CTK untuk menyerahkan sebahagian wang rampasan untuk dikira dan disahkan ketulenan, sebaliknya membawa AS$800 keluar daripada bangunan SPRM untuk ditukarkan kepada Ringgit Malaysia dengan bantuan seorang individu.

Katanya, pada 9 April 2019, tertuduh sekali lagi meminta wang rampasan dan membawa keluar wang AS$2,470,000 untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia.

“Tertuduh turut menyerahkan sebuah beg berwarna ungu berisi AS$4.07 juta untuk disimpan kenalannya bagi dijadikan modal perniagaan.

“Perbuatannya terbongkar apabila pada 23 Ogos 2021, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memerintahkan wang rampasan dipulangkan semula kepada Bahagian Penyelidikan (RD), Jabatan Perdana Menteri (JPM). Selepas diserahkan, pemeriksaan mendapati wang rampasan diragui ketulenannya,” katanya.

Ahmad Akram berkata, selama Shahrum Nizam diamanahkan terhadap wang rampasan itu, dia melupuskan sebahagian wang eksibit AS$6.94 juta dengan menukarkan kepada Ringgit Malaysia melalui dua saksi dan hasil siasatan mendapati tertuduh membelanjakan sejumlah RM2,713,730 untuk membeli aset di antara 17 Disember 2018 hingga kini.

BELI RUMAH, JAM TANGAN MEWAH SECARA TUNAI

Beliau berkata, tertuduh membeli aset mewah dengan membuat 13 kali transaksi bayaran secara tunai untuk membeli sebuah rumah dua setengah tingkat di Kota Warisan, Sepang; empat unit jam tangan jenama Hublot Big Bang; dua unit jam tangan Tag Heuer dan dua unit jam tangan jenama Rolex secara tunai dengan nilai keseluruhan pembelian sebanyak RM397,580.

Katanya, tertuduh juga membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda jenama Ford Raptor 2.0 secara tunai berjumlah RM219,000; dua bidang tanah di Jerantut, Pahang seluas 2.9967 hektar bernilai RM333,220 atas nama tertuduh dan 1.244 hektar bernilai RM150,000 nama isterinya.

“Tertuduh juga membeli sebuah kereta jenis Honda Civic Type R 2.4L Turbo bernilai RM290,030; sebuah motosikal Ducati 1199 Superleggera bernilai RM300,000; sebuah kereta Mercedes Benz A250 Sport bernilai RM130,000; dan menukar sebahagian daripada wang AS$6.94 juta kepada wang tunai berjumlah RM8,700.

“Pada 21 September 2021 di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, SPRM menyita wang tunai berjumlah RM1.6 juta daripada saksi yang mana tertuduh serahkan wang kepada saksi itu untuk dijadikan modal perniagaan balak,” katanya.

Shahrum Nizam diwakili peguam Ahmad Hafiz A Bakar sementara itu memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnyamengaku salah terhadap pertuduhan pilihan dan pengakuan itu perlu diberi kredit oleh mahkamah dalam menjatuhkan hukuman.

Ahmad Hafiz berkata tertuduh berkhidmat dengan SPRM sejak 14 November 2005 dan dia memperoleh anugerah perkhidmatan cemerlang sebanyak empat kali sepanjang perkhidmatannya.

Katanya, tertuduh menghidap kanser hidung dan satu laporan perubatan dari sebuah hospital swasta turut dikemukakan kepada mahkamah.