Peguam ini jelaskan kenapa Siti Bainun tidak didakwa atas tuduhan membunuh

Peguam ini jelaskan kenapa Siti Bainun tidak didakwa atas tuduhan membunuh

1. Dalam kes Siti Bainun, beliau telah dituduh dengan 2 pertuduhan iaitu tuduhan mengabaikan Bella, dan satu lagi, tuduhan menganiaya Bella.

2. Kedua-dua tuduhan tersebut dibuat berasingan. Bagi kes pengabaian, beliau dituduh pada Ogos 2021. Bagi kes aniaya, beliau dituduh pada November 2021.

3. Apa yang jelas adalah, beliau berhadapan dengan hukuman penjara maksima 20 tahun, atau denda maksima RM50k, atau kedua-dua (Rujuk Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak).

4. Kenapa beliau tak dituduh dengan tuduhan yang lagi berat seperti cubaan membunuh, mencedera parah atau mencederakan Bella?

5. Ini pandangan saya; kemungkinan besar perbuatan tertuduh tidak memenuhi elemen-elemen dalam kesalahan-kesalahan tersebut.

Pertuduhan-pertuduhan tersebut juga agak berat untok dibuktikan di Mahkamah. Jika elemen tak dapat dipenuhi, dan Pendakwaraya tak dapat buktikan elemen pertuduhan tersebut, maka mudahlah tertuduh akan dilepaskan.

6. Seksyen 31 AKK ini adalah seksyen paling mudah bagi pihak Pendakwaan buktikan. Hanya perlu buktikan wujudnya elemen ‘pengabaian’ atau ‘penganiayaan’, itu sudah cukup buktikan tertuduh bersalah.

7. Lagipun, dari segi hukuman, Seksyen 31 AKK ni amat berat hukumannya. Maksimum penjara 20 tahun atau denda maksimum RM50k. Ia satu hukuman yang amat tinggi.

8. Sebagai perbandingan, bagi kesalahan cubaan membunuh, hukumannya maksimum penjara 10 tahun (Seksyen 307 KK). Bagi kesalahan sengaja mencederakan, hukumannya maksimum penjara 1 tahun (Seksyen 323 KK). Bagi kesalahan sengaja mencedera parah maksimum penjara 7 tahun (Seksyen 325 KK).

9. Oleh itu, pertuduhan bawah Seksyen 31 AKK ini sudah memadai dan jauh lebih tinggi berbanding pertuduhan lain. Ia juga pertuduhan yang lebih mudah untok dibuktikan.

10. Kenapa kes ni panjang? Kenapa kes orang lain kejap je dah settle, tapi kes dia ni ambil masa lama?

11. Kes orang lain, kebanyakannya terus mengaku salah. Jadi, terus hukum pada hari tu juga. Dalam kes Bella ni, tertuduh tak mengaku salah dan minta dibicarakan. Ia satu prosedur yang sangat-sangat normal.

12. Kes-kes perbicaraan jenayah sebegini memang standard makan masa 1-2 tahun. Belum campur kalau ada Rayuan. Semua kes kebiasaannya memang akan ambil masa yang lama, tak kira siapa pun tertuduh tu.

Dahlah kes ni ada 34 saksi. 1 saksi saja boleh ambil masa 2-3 hari. Inipun baru saksi Pendakwaan. Kita tak tahu pula berapa ramai saksi Pembelaan. Bayangkan.

13. Kenapa Bella takda Peguam? Sebab, ini kes jenayah. Dalam kes jenayah, bukan Peguam vs Peguam. Tapi, Pendakwa Raya vs Peguam.

14. Yang bawa kes ini Pendakwa Raya. Pendakwa Raya ni akan membawa dan menuduh orang yang didapati melanggar undang-undang negara. Pendakwa Raya ni dah macam dah ‘peguam’ bagi Bella. Mereka akan pastikan tertuduh dibuktikan bersalah.

15. Walau bagaimanapun, Peguam pun boleh juga ‘mewakili’ Bella, tetapi hanya boleh sebagai Pemerhati. Ini yang Tunku Mahkota Johor perkenan untok menghantar Peguam Pemerhati.

16. Dalam kes ini, SUHAKAM sudah pun menghantar 2 orang Peguam Pemerhati, sejak kes ini dijalankan dari awal.

17. Sekiranya Bella masih ada ibu atau bapa, ibu bapa Bella boleh hantar Peguam Pemerhati mereka sendiri. Disebabkan Bella berada di bawah Jabatan Kebajikan, maka mereka tak perlu pun menghantar Peguam Pemerhati sebab Pendakwa Raya sendiri akan laporkan perkembangan kes ini kepada Jabatan.

18. Bercerita tentang Peguam. Tertuduh kes ini dikatakan menghantar sampai 10 orang Peguam. Setahu saya, Peguam yang di’pasang’ oleh tertuduh hanya 4 orang.

19. Kemungkinan, selebihnya yang kita tengok ramai-ramai dalam gambar itu, adalah Legal Assistant (pun Peguam juga, tapi bekerja dalam firma. Bukannya bos) atau pelajar Chambering bagi peguam masing-masing.

20. Tugas mereka dalam kes ini adalah membantu Mahkamah untok seimbangkan dua-dua versi. Versi tertuduh jahat, dibawa oleh Pendakwa. Versi teruduh tak buat, dibawa oleh Peguam. Yang akan tentukan adalah Hakim.

21. Saya ok saja pandangan sinis orang terhadap kerjaya guaman apabila kes ini meletup.

22. Tapi apa saya nak tekankan, kerjaya Peguam ini amatlah diperlukan terutamanya bila seseorang itu dianayai. Buatnya tetiba kita ditangkap dan polis letak dadah dalam dompet kita, siapa nak bantu kita kalau semua Peguam dah masuk neraka?

23. Berbalik semula kepada kes Bella. Ada orang tanya, susah tak Bella nak menang kes ni?

24. Jawapan saya adalah, saya tak boleh jawab. Sebab, saya takda akses kepada dokumen-dokumen Pendakwaan dalam kes ini.

25. Nak tahu berapa persen boleh menang atau kalah dalam kes ni, bukan hanya boleh dilihat melalui cerita-cerita sahaja, tetapi ianya perlu dilihat melalui dokumen yang diserahkan oleh Pendakwaan seperti report polis, percakapan, laporan perubatan, penyataan saksi dan gambar kes.

26. Kalaupun satu-satu kes itu dah cantik, dah cukup kuat dan dah solid nak membuktikan tertuduh bersalah, tapi dokumen Pendakwaan atau cara pengendalian kes itu tak sempurna, maka kes itu akan jadi cacat, dan tertuduh boleh dilepaskan.

27. Belum lagi kalau kita bincang pasal saksi. Kalau kes solid macam mana pun, tapi saksi takda kredibiliti nak bagi keterangan dalam Mahkamah, pun boleh membuatkan tertuduh dilepaskan.

28. Dalam setiap kes, kesempurnaan bukti di Mahkamah adalah amat penting bagi melindungi orang tak bersalah yang teraniaya.

29. Oleh itu, ya. Inilah yang dilakukan oleh barisan Peguam dalam kes ini untok memastikan agar tatacara perundangan yang dijalankan, dijalankan dalam keadaan yang sempurna.

30. Jujurnya, saya tak boleh tengok kecederaan yang dialami oleh Bella. Amat menyayat hati. Adik saya sindrom down, umurnya 4 tahun saja beza dengan Bella.

31. Setiap kali saya melihat Bella pada awal dijumpai, saya tak boleh. Saya terbayang yang Ammar juga berkeadaan begitu. Membara dan membuaknya hati saya jika Bella diperlakukan sebegitu, apatah lagi kalau Ammar yang kena.

32. Bella waktu dijumpai, sampai koyak kulit, luka sampai boleh nampak daging, tubuh bernanah dan ada kesan melecur.

33. Walau seorang kanak-kanak pun tak layak dibiarkan sebegini, apatah lagi budak sindrom down. Budak sindrom down adalah budak yang perlukan perhatian dan kasih sayang lebih tinggi berbanding kanak-kanak lain. Jangankan cedera, diherdik sikit pun mereka tak layak.

34. Saya simpulkan, si pelaku ini adalah seorang yang psiko. Ini bukan acah menganjing sesuka hati nak panggil orang psiko. Ini real. Selalu kita tengok filem orang yang psiko, hah, inilah yang realitinya.

35. Manusia biasa pasti ada rasa sekelumit rasa kasihan dan bersifat melindungi sesama manusia. Tapi si pelaku Bella, ini bukan kerja manusia normal. Ianya kerja manusia psiko.

36. Saya doakan si pelaku dan yang terlibat dalam perlakuan tersebut, merasai setiap apa yang dilalui oleh Bella. Tidak ada lagi hukuman paling setara selain hukuman yang menyakitkan, dan kalau boleh, berpanjangan.

37. Ayuh kita memperjuangkan keadilan buat Bella, dan doakan agar kes ini berjalan dengan lancar di Mahkamah.

38. Pesanan saya, hati-hati juga ketika buat ulasan tentang kes ini, kerana kes ini perlu diselesaikan dengan sempurna. Sebarang ulasan yang menyimpang, boleh mencalarkan sistem kehakiman, dan subjudis terhadap kes ini.

38. Kalau boleh, kuatkan dahulu asas sistem perundangan, dan bagaimana perbicaraan mahkamah berjalan. Dengan itu, kita bukan sahaja faham tentang apa yang berlaku, malah kita juga boleh berikan informasi yang tepat berkenaan kes ini.

39. Banyakkan membaca, dan banyakkan bertanya orang. Perbicaraan Mahkamah, bukanlah seperti yang kita tonton dalam drama Korea atau filem orang putih. Ia lebih rumit daripada itu. Dalam kita berjuang, kita juga dapat belajar ilmu yang baru. Menang berilmu, kalah pun berilmu.

40. Doakan agar pelaku dan pihak yang terlibat buat jahat kepada Bella ini dihukum dengan hukuman yang menyakitkan.

41. Jangan lupa sebarkan #justiceforbella.

MUFARWA FARID
Peguam