PEJUANG kata keputusan PRN Sarawak bukti rakyat tolak PH
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Sarawak adalah mesej utama menunjukkan rakyat menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP secara jelas, kata Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) sudah tidak dihormati lagi dan PRN Sarawak itu telah menunjukkan secara jelas bahawa rakyat menolak kepimpinan lapuk Anwar serta DAP.
“Sejak memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan masa kini yang ditunjang oleh Umno; rakyat benar-benar hilang hormat terhadap keseluruhan pemimpin-pemimpin PH,” katanya menerusi kenyataan.
Menurutnya, dalam PRN Sarawak kali ini, gabungan PH tewas dengan begitu teruk sekali kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“DAP hanya berjaya meraih dua kerusi dan PKR gagal memperolehi sebarang kerusi DUN Sarawak.
“Sepertimana pada PRN Melaka sejarah berulang kembali dengan kekalahan PH secara tidak masuk akal!! Sekarang baru YB Tony Pua tahu ‘langit tinggi rendah!!’
“Selama ini pemimpin-pemimpin DAP yang bersikap ‘superiority complex’ terlalu tinggi seperti yb Tony Pua ingat beliau bijak membuat percaturan politik baru untuk PH. Sekarang kita hendak tanya Yb Tony Pua apa sudah jadi?” soalnya.
Beliau dari awal lagi beliau sudah mengingatkan beberapa pemimpin DAP bahawa tindakan memeterai MoU dengan kerajaan yang dipimpin oleh Umno yang juga dibayangi oleh pemimpin-pemimpin kleptokrat bakal ‘membunuh’ masa depan politik PH.
“Namun, pemimpin-pemimpin PH terlalu angkuh dan tidak bersetuju dengan pandangan saya.
“Perbalahan di antara saya dengan YB Anthony Loke dalam isu memeterai MoU di antara PH dengan kerajaan Umno kini telah memberi gambaran yang lebih jelas bahawasanya rakyat sudah hilang hormat terhadap PH.
“Rakyat Malaysia sedang menghukum kesilapan PH yang dilihat sebagai menggadai maruah serta prinsip perjuangan mulia pembangkang selama ini,” katanya, seperti dilaporkan Malaysiapost.