Pejuang senada dengan Umno, mahu darurat di Melaka

Pejuang senada dengan Umno, mahu darurat di Melaka

 

PARTI Pejuang Tanahair (PEJUANG) mendesak kerajaan mengisytiharkan darurat setempat di Melaka untuk mengelakkan pilihan raya sehingga situasi Covid-19 benar-benar terkawal.

Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkat kerajaan Melaka boleh dipimpin sementara itu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Menurutnya, walaupun mandat daripada rakyat melalui pilihan raya negeri dianggap penting namun ‘nyawa rakyat harus menjadi keutamaan bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 tidak terkawal pada Pilihan raya Negeri Sabah.

“Satu nyawa sekalipun terlalu berharga untuk dikorbankan bagi mengatasi kemelut politik dalaman Umno yang telah mencetuskan keadaan kucar-kacir di Melaka kini.

“Keselamatan dan kepentingan rakyat tidak boleh sama sekali dijadikan taruhan dalam caturan politik dan rebutan kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Malaysiapost.

Melaka dijadual mengadakan pilihan raya dalam tempoh 60 hari dari tarikh 4 Oktober selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kabinet akan mempertimbangkan minggu depan mengenai sama ada mahu menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat.

Mukhriz berkata, kebanyakan rakyat Melaka menentang pilihan raya negeri ketika mereka baru sahaja pulih daripada pandemik Covid-19.