Pelakon terkenal menang saman terhadap isteri RM66 juta

Pelakon terkenal menang saman terhadap isteri RM66 juta

PELAKON Hollywood, Johnny Depp, 58, memenangi kes saman fitnah terhadap bekas isteri, Amber Heard, 36, pada Rabu.

Perbicaraan tersebut berlangsung selama enam minggu sebelum ini.

Depp dalam tuntutan mahkamah libel terhadap bekas isterinya itu membuktikan pendiriannya bahawa Heard mereka-reka dakwaan bahawa dia didera oleh Depp sebelum dan semasa perkahwinan singkat mereka.

Depp memfailkan saman fitnah terhadap Heard atas penulisannya untuk kolum Washington Post, dengan menuntut ganti rugi sebanyak AS$50 juta (RM218 juta).

Heard yang juga pelakon filem Aquaman, membalas dengan memfailkan saman menuntut AS$100 juta (RM437.8 juta) dan mendakwa dirinya mengalami ‘penderaan serta keganasan fizikal’ daripada Depp.

Mahkamah mendapati Depp harus diberikan ganti rugi AS$15 juta (RM66 juta), manakala Heard harus menerima AS$2 juta (RM8.7 juta).

Menerusi perbicaraan itu, Heard memberi keterangan bahawa Depp menyerangnya secara fizikal atau seksual lebih daripada 12 kali.

Depp menafikan dia tidak pernah melakukan penderaan fizikal terhadap Heard, sebaliknya mendakwa ketika perbicaraan bahawa wanita itu yang sering bertindak ganas.

Depp tidak menunggu di Virginia untuk keputusan itu. Dia menghabiskan beberapa hari terakhir di atas pentas, menyanyi dan bermain gitar bersama Jeff Beck di United Kingdom.