Pemain bola sepak Malaysia ini ditangkap kerana disyaki rogol gadis 18 tahun

Pemain bola sepak Malaysia ini ditangkap kerana disyaki rogol gadis 18 tahun

Seorang pemain bola sepak tanah air dicekup selepas disyaki merogol seorang gadis yang juga merupakan rakannya di sebuah rumah di daerah ini, kelmarin.

Lelaki yang berusia 28 tahun itu ditahan semasa dia berada di rumahnya selepas polis menerima laporan daripada mangsa.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari semasa gadis berusia 18 tahun itu berada di rumahnya seorang diri.

Menurutnya, suspek telah datang ke rumah mangsa yang bekerja sebagai jurujual tudung dan bertindak masuk ke rumah gadis berkenaan ketika dia keluar membuang sampah.

“Pemain bola sepak itu dipercayai telah monolak mangsa dari belakang sebelum mengheretnya ke atas katil di dalam bilik tidur sebelum merogol gadis tersebut.

“Mangsa telah melawan dan menjerit meminta pertolongan namun semua ahli keluarganya tiada di rumah ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Cinta Dan Air Mata Peringkat Zon Kelantan dan Terengganu di Pantai Cahaya Bulan Resort di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini dan pemeriksaan mendapati ada satu kesan koyakan baharu pada kemaluan gadis itu.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, mangsa mengenali pemain bola sepak itu dan suspek didakwa pernah menghantar mesej berbaur lucah melalui WhatsApp kepadanya.

“Semakan mendapati, suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Polis telah merampas baju dan seluar yang dipakai suspek semasa kejadian tersebut untuk membantu siasatan,” katanya, memetik laporan Kosmo.

Tambah Muhamad Zaki, suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.